CUPERTINO: Apple secara rasmi mengumumkan acara khas tahunannya yang dijadual berlangsung pada jam 10 pagi 9 September (1 pagi, 10 September waktu Malaysia) di Teater Steve Jobs, Apple Park, California, lapor Amanz.
Melalui jemputan media global yang memaparkan slogan "Surprise and Shine", Apple bakal memperkenalkan barisan peranti premium terbaharunya yang diketuai oleh siri iPhone 18 Pro.
Menurut laporan industri, syarikat itu dijangka memperkenalkan tiga model utama iaitu iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max dan telefon boleh lipat pertama Apple yang dijangka menggunakan nama iPhone Ultra.
Selain telefon pintar baharu, acara yang akan distrim secara global itu turut dijangka menyaksikan pengenalan Apple Watch Series 12 serta generasi baharu fon telinga tanpa wayar AirPods 5.
Acara September kali ini juga dijangka menjadi detik bersejarah kepada Apple kerana merupakan pelancaran produk utama pertama di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, John Ternus, yang mengambil alih jawatan tersebut daripada Tim Cook.
Selain pengenalan perkakasan baharu, Apple turut dijangka berkongsi perkembangan lanjut mengenai pelancaran sistem operasi iOS 27 dan kemas kini ekosistem perisiannya yang lain.
Sementara itu, beberapa laporan menyebut Apple dijangka memisahkan jadual pelancaran keluarga iPhone 18, dengan model iPhone 18 standard, siri iPhone 18e serta model iPhone Air hanya diperkenalkan pada 2027.