Skip to main content

Teknologi

CEO Malaysia akui AI ubah cara pengurusan syarikat - Kajian IBM 2026

41741354482_ibm.jpg
Pengurus Besar Negara dan Pemimpin Teknologi IBM Malaysia, Dickson Woo berkata, persaingan industri hari ini tidak lagi memberi ruang kepada organisasi untuk bergerak perlahan dalam penggunaan AI. -Gambar fail/IBM

KUALA LUMPUR: Hampir separuh keputusan operasi syarikat dijangka dibuat sepenuhnya oleh kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030, menandakan perubahan besar dalam landskap kepimpinan dan pengurusan organisasi.

Namun, di sebalik keyakinan tinggi pemimpin korporat terhadap AI, penggunaan sebenar dalam kalangan pekerja masih rendah.

Menurut kajian tahunan 2026  oleh IBM Institute for Business Value bertajuk 'Rewiring the C-suite: The fast track to 2030', hanya 25 peratus tenaga kerja ketika ini menggunakan AI secara tetap dalam tugasan harian walaupun 90 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) percaya pekerja mereka sudah bersedia untuk berkolaborasi dengan teknologi itu.

Kajian melibatkan 2,000 CEO merentasi 33 negara dan 21 industri itu turut menunjukkan 23 peratus keputusan operasi syarikat kini dibuat sepenuhnya oleh AI tanpa campur tangan manusia.

Angka itu dijangka meningkat kepada 48 peratus menjelang 2030.

Di Malaysia, 63 peratus CEO bersetuju AI sedang mengubah teras perniagaan mereka, manakala 77 peratus organisasi telah mula mengintegrasikan teknologi itu dalam pelbagai aliran kerja bagi meningkatkan kecekapan.

Pada masa sama, 73 peratus organisasi kini mempunyai Ketua Pegawai AI (Chief AI Officer atau CAIO), menunjukkan AI telah menjadi agenda kepimpinan strategik, bukan sekadar fungsi teknologi.

Dickson Woo memberi taklimat kepada wakil media berkenaan kajian CEO IBM 2026.


Pengurus Besar Negara dan Pemimpin Teknologi IBM Malaysia, Dickson Woo berkata, persaingan industri kini tidak memberi ruang kepada organisasi untuk bergerak perlahan dalam penggunaan AI.

“AI hari ini bukan lagi sekadar alat teknologi, ia telah menjadi kelebihan strategik perniagaan.

"Jika anda tidak memilikinya, anda tidak mampu bersaing dengan pesaing Anda,” katanya ketika berucap dalam sesi taklimat kajian sempena acara IBM Technology Impact Exchange 2026 minggu lalu.

Menurut beliau, cabaran terbesar organisasi kini bukan lagi akses kepada teknologi, tetapi membina kepercayaan terhadap bagaimana AI digunakan dalam operasi syarikat.


“Perkataan yang lebih besar ialah kepercayaan. Jika model perniagaan anda tidak dapat menghasilkan kepercayaan muktamad, tiada siapa yang akan melanggan perniagaan anda,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan IBM Consulting Asia Pasifik, Juhi McClelland berkata organisasi di rantau ini kini beralih daripada fasa eksperimen kepada penggunaan AI secara menyeluruh.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan tidak bergantung kepada teknologi semata-mata.

“Kejayaan sebenar bergantung kepada cara pemimpin memperkasakan pekerja mereka, mereka bentuk semula peranan, mengubah proses dan menanamkan AI secara bertanggungjawab merentasi perusahaan,” katanya.

Sesi demonstrasi beberapa penyelesaian AI perusahaan oleh IBM.
 

Kajian itu turut menggariskan lima strategi utama untuk CEO, termasuk menyusun semula struktur kepimpinan, membangunkan ekosistem ejen AI, menggabungkan pelbagai model AI serta mengimbangi peranan manusia dan mesin dalam membuat keputusan.

Selain itu, syarikat digesa bersedia menghadapi perkembangan teknologi seperti pengkomputeran kuantum yang dijangka memberi impak besar kepada AI pada masa depan.

Turut berlangsung sempena acara itu ialah demonstrasi beberapa penyelesaian AI perusahaan oleh IBM termasuk aplikasi penglibatan peminat Scuderia Ferrari yang menggunakan AI untuk menghasilkan kandungan perlumbaan masa nyata, platform pembangunan perisian AI perusahaan, serta sistem automasi dan pemantauan operasi IT berasaskan AI.

Demonstrasi tersebut memperlihatkan bagaimana AI kini bukan lagi konsep masa depan, tetapi sudah digunakan secara aktif untuk mempercepatkan operasi, mengurangkan risiko dan meningkatkan pengalaman pengguna dalam persekitaran perusahaan sebenar.

Laporan penuh kajian CEO 2026 boleh diakses menerusi laman rasmi IBM Institute for Business Value.
 

Must Watch Video

Advertisement