Skip to main content

Teknologi

China denda Trip.com RM3.1 bilion dalam kes antimonopoli tempahan hotel

China Menyaman Trip.com Sebanyak $770 Juta – Disebabkan Salah Guna Kedudukan Monopoli Dalam Tempahan Hotel Atas-Talian
Siasatan oleh Pentadbiran Negeri bagi Pengawalseliaan Pasaran (SAMR) mendapati pengendali platform itu memanipulasi kedudukan pasaran bagi memaksa hotel tertentu menawarkan harga eksklusif dan kadar terendah hanya melalui platformnya. -Foto Amanz
Advertisement

BEIJING: Pihak berkuasa China mengenakan tindakan penalti berjumlah 5.18 bilion yuan (kira-kira AS$770 juta) terhadap gergasi pelancongan Trip.com Group selepas didapati menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam pasaran tempahan hotel domestik, lapor Amanz.

Siasatan oleh Pentadbiran Negeri bagi Pengawalseliaan Pasaran (SAMR) mendapati pengendali platform itu memanipulasi kedudukan pasaran bagi memaksa hotel tertentu menawarkan harga eksklusif dan kadar terendah hanya melalui platformnya.

Amalan antipersaingan itu menyekat keupayaan pengusaha hotel untuk beroperasi secara bebas di platform pesaing selain menjejaskan persaingan sihat dalam sektor pelancongan dalam talian negara berkenaan.

Hukuman tersebut merangkumi denda 3.52 bilion yuan dan rampasan keuntungan haram berjumlah 1.66 bilion yuan yang diperoleh syarikat itu sejak 2020 hasil amalan yang melanggar undang-undang antimonopoli.

SAMR turut mengarahkan Trip.com memulangkan deposit tempahan hotel bernilai 122 juta yuan yang didakwa dipotong daripada pengendali hotel sepanjang tempoh pelaksanaan dasar berkenaan.

Trip.com Group, yang memiliki jenama pelancongan terkenal termasuk Ctrip, Skyscanner dan Qunar, merupakan antara platform tempahan pelancongan dalam talian terbesar di dunia.

Bagaimanapun, pengurusan Trip.com berkata syarikat itu menerima keputusan berkenaan dan akan mematuhi sepenuhnya semua keperluan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Syarikat itu turut berjanji melaksanakan langkah pembetulan secara menyeluruh serta menstruktur semula sistem operasinya bagi memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang antimonopoli China.

 

Must Watch Video

Advertisement