DIGG, antara laman perkongsian pautan paling berpengaruh pada era awal Web 2.0, sekali lagi ditutup hanya dua bulan selepas pelancaran semula versi beta pada awal 2026.
Penutupan itu disahkan susulan masalah serius melibatkan spam dan serangan bot yang menyebabkan platform berkenaan tidak lagi stabil untuk diuruskan, lapor Amanz.
Advertisement
Menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Digg, Justin Mezzell, pasukan mereka dikejutkan dengan serangan bot yang amat pantas, termasuk bot SEO yang cuba memanfaatkan autoriti pautan Google pada Digg.
Walaupun puluhan ribu akaun palsu telah disekat dan sistem keselamatan tambahan dipasang, gangguan automasi itu terlalu besar hingga menjejaskan integriti undian dan penyertaan pengguna.
Akibatnya, Digg menghentikan operasi, memberhentikan sebahagian besar pekerja, dan menutup aplikasi serta laman web utama — kini hanya memaparkan notis “hard reset”.
Mezzell menegaskan bahawa masalah bot kini bukan sekadar isu Digg, tetapi realiti seluruh internet moden.
Namun, Digg belum berakhir. Bermula April 2026, Kevin Rose, pengasas asal Digg, akan kembali menyertai pasukan secara sepenuh masa dalam usaha membina semula platform tersebut daripada asas yang baharu.
Rose sebelum ini memperoleh kembali Digg bersama rakan usahawan Alexis Ohanian, dengan visi mengembalikan nilai komuniti dan penemuan kandungan yang pernah menjadikan Digg popular pada era awalnya.
Dengan langkah baharu ini, masa depan Digg kini bergantung pada keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan landskap digital yang lebih mencabar dan sarat bot automasi, sambil cuba mengembalikan semula identiti unik yang pernah membentuk komuniti laman tersebut.