GERGASI permainan video global, Electronic Arts (EA), secara rasmi mengumumkan penutupan studio pembangunan permainan peranan (RPG) terkenal, BioWare, selepas lebih tiga dekad beroperasi dalam industri, lapor Amanz.
Penutupan studio yang terkenal dengan pembangunan permainan ikonik seperti siri Mass Effect, Dragon Age, Baldur's Gate dan Star Wars: Knights of the Old Republic (KOTOR) itu turut menyaksikan pembatalan projek Mass Effect baharu yang masih dalam fasa pembangunan awal.
Penyusunan semula drastik itu merupakan tindakan besar pertama syarikat sejak bertukar menjadi syarikat persendirian susulan pengambilalihan berasaskan pembiayaan hutang (leveraged buyout, LBO) bernilai AS$55 bilion (kira-kira RM258 bilion) oleh konsortium yang dianggotai Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, Silver Lake dan Affinity Partners yang dimuktamadkan Ogos lalu.
Selepas pengambilalihan itu, pengurusan tertinggi EA mengesahkan pemberhentian kira-kira 400 pekerja, bersamaan sekitar tiga peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya di seluruh dunia, sebagai sebahagian daripada langkah pengurangan kos operasi dan perbelanjaan penyelidikan serta pembangunan (R&D).
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 50 jawatan membabitkan kakitangan BioWare, manakala ruang kerja studio itu di Edmonton, Kanada, turut ditutup.
Menerusi memorandum dalaman syarikat, EA dilaporkan mahu menumpukan pelaburan kepada francais sukan utamanya, perkhidmatan langsung Apex Legends serta projek aksi-pengembaraan berprofil tinggi seperti Star Wars Jedi dan Marvel's Iron Man.
Walaupun operasi BioWare ditamatkan, hak milik intelektual francais seperti Mass Effect dan Dragon Age kekal dimiliki EA.
Sementara itu, Amazon MGM Studios sebelum ini mengumumkan pembangunan siri aksi nyata berdasarkan francais Mass Effect untuk platform Prime Video.