BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mengenakan denda sebanyak €890 juta (kira-kira RM4.2 bilion) terhadap syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Google, selepas didapati melanggar peraturan persaingan digital di bawah Akta Pasaran Digital (DMA), lapor Amanz.
Suruhanjaya Eropah berkata, Google menyalahgunakan kedudukan dominannya menerusi Google Search dan Google Play dengan memberikan kelebihan kepada perkhidmatan miliknya sendiri sehingga menjejaskan peluang pesaing untuk bersaing secara adil.
Denda itu merangkumi €460 juta kerana mengutamakan perkhidmatan seperti Google Shopping, Google Hotels dan Google Flights dalam hasil carian, manakala €430 juta lagi berkaitan sekatan "anti-steering" dalam Google Play yang menghalang pembangun aplikasi mengarahkan pengguna kepada pilihan pembelian alternatif yang lebih murah.
Tindakan itu dibuat tidak lama selepas Google gagal dalam rayuan berhubung kes antimonopoli melibatkan Android yang bermula sejak 2018.
Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah yang bertanggungjawab terhadap dasar persaingan, Teresa Ribera berkata, penguatkuasaan DMA penting bagi memastikan persaingan digital berlangsung secara adil dan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan.
Bagaimanapun, Google mengkritik keputusan berkenaan dengan mendakwa pelaksanaan DMA boleh menyebabkan kemerosotan kualiti beberapa ciri produk, termasuk fungsi carian masa nyata serta perlindungan keselamatan dalam Google Play.
Google turut diberi tempoh 60 hari untuk mematuhi arahan Suruhanjaya Eropah atau berdepan tindakan lanjut.