Skip to main content

Teknologi

Google DeepMind guna AI pantau patogen, tangani wabak dan percepat pembangunan vaksin

71721981398_GoogleDeepMind.jpg
Langkah itu diambil susulan landskap biosekuriti global yang semakin kompleks akibat perubahan ekosistem, peningkatan perjalanan antarabangsa serta risiko penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI). -Foto Amanz
Advertisement

GOOGLE DeepMind dan Isomorphic Labs mengumumkan program ketahanan biologi (bioresilience) baharu bagi menangani ancaman biologi serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi wabak pada masa depan, lapor Amanz.

Langkah itu diambil susulan landskap biosekuriti global yang semakin kompleks akibat perubahan ekosistem, peningkatan perjalanan antarabangsa serta risiko penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI).

Bagi memastikan model digunakan secara selamat, DeepMind melaksanakan proses keselamatan empat langkah yang merangkumi pemodelan ancaman, penilaian, mitigasi dan pemantauan.

Syarikat itu turut menyesuaikan teknologi tera air SynthID kepada bidang biologi bagi membantu penyedia sintesis DNA menapis jujukan biologi berpotensi berisiko yang dijana oleh AI.

Dalam aspek pengesanan wabak, AlphaEvolve digunakan untuk mengoptimumkan algoritma penjujukan dan analisis data metagenomik bagi mempercepat pengesanan wabak serta mengurangkan kos pemantauan penyakit di peringkat global.

Pada masa sama, AlphaGenome membantu penyelidik mengenal pasti dan memahami patogen baharu dengan lebih pantas berbanding kaedah tradisional.

Sistem AI berkenaan juga dijangka mempercepat pembangunan vaksin dan langkah tindak balas terhadap ancaman biologi baharu serta sedia ada.

Bagi menyokong usaha itu, Isomorphic Labs menubuhkan unit khas untuk mengendalikan enjin reka bentuk ubat berasaskan AI bagi membantu respons terhadap wabak baharu.

Google DeepMind dan Isomorphic Labs berkata mereka akan terus bekerjasama secara terbuka dengan makmal biosekuriti, kerajaan dan komuniti saintifik bagi memastikan AI dibangunkan serta digunakan secara bertanggungjawab demi melindungi masyarakat.

 

Must Watch Video

Advertisement