Skip to main content

Teknologi

Google, kerajaan UK lancar Operation Blue Skies kurangkan kesan jejak wap

Google bekerjasama dengan kerajaan United Kingdom untuk melancarkan Operation Blue Skies yang ingin mengurangkan impak kesan iklim penerbangan disebabkan oleh pembentukan kontrail atau wap air oleh enjin pesawat. Walaupun kelihatan tidak berbahaya, kontrail di belakang laluan pesawat menyumbang kira-kira sepertiga daripada kesan iklim disebabkan aktiviti penerbangan._Amanz
Operation Blue Skies akan berlangsung selama 30 bulan dan membabitkan ujian operasi terhadap laluan penerbangan yang melalui sektor berkenaan, dengan kira-kira 10,000 penerbangan melintasi ruang udara itu ketika waktu ujian setiap tahun. -Foto Amanz
Advertisement

LONDON: Google mengumumkan kerjasama strategik dengan kerajaan United Kingdom (UK) menerusi pelancaran program Operation Blue Skies bagi mengurangkan kesan iklim yang berpunca daripada pembentukan jejak wap dalam sektor penerbangan komersial, lapor Amanz.

Jejak wap (condensation trail) ialah jejak pemeluwapan yang terbentuk apabila gas ekzos pesawat bertemu udara sejuk pada altitud tinggi.

Menurut Google, fenomena itu dianggarkan menyumbang kira-kira satu pertiga daripada kesan pemanasan iklim yang dikaitkan dengan sektor penerbangan.

Program perintis itu akan dilaksanakan di ruang udara Shanwick di koridor Atlantik Utara, yang dianggarkan menyumbang sekitar lima peratus daripada pemanasan global yang dikaitkan dengan jejak wap.

Operation Blue Skies akan berlangsung selama 30 bulan dan membabitkan ujian operasi terhadap laluan penerbangan yang melalui sektor berkenaan, dengan kira-kira 10,000 penerbangan melintasi ruang udara itu ketika waktu ujian setiap tahun.

Menerusi projek tersebut, sebahagian kecil penerbangan akan diarahkan menukar altitud secara minimum bagi mengelakkan kawasan atmosfera yang berpotensi menghasilkan jejak wap yang memerangkap haba.

Google UK akan membangunkan model kecerdasan buatan (AI) untuk meramal kawasan pembentukan jejak wap serta menilai keberkesanan langkah pengurangannya menggunakan data satelit dan data penerbangan.

Imperial College London dan University of Cambridge pula akan menjalankan analisis saintifik serta penilaian bebas terhadap data yang dikumpulkan sepanjang ujian tersebut.

Sementara itu, Met Office akan menyediakan kepakaran meteorologi dan membantu membangunkan keupayaan ramalan pembentukan jejak wap bagi menyokong pelaksanaan projek berkenaan.

Pendekatan mengurangkan jejak wap menerusi pelarasan altitud dianggap antara kaedah paling praktikal dan kos efektif untuk mengurangkan kesan iklim sektor penerbangan tanpa memerlukan perubahan besar terhadap operasi penerbangan sedia ada.

 

Must Watch Video

Advertisement