SAN FRANCISCO: Google dan Samsung dilapor bekerjasama membangunkan ciri perkongsian fail baharu, Tap to Share, yang menawarkan fungsi seakan NameDrop pada peranti iPhone.
Menurut laporan Amanz, ciri berkenaan ditemui dalam binaan terbaharu Android Canary dan antara muka One UI 9 milik Samsung.
Advertisement
Pembangunan itu membolehkan pengguna memindahkan fail atau maklumat peribadi dengan menyentuhkan dua peranti Android berdekatan tanpa perlu membuka aplikasi secara manual.
Ciri tersebut, yang sebelum ini dikenali sebagai Gesture Exchange sejak Nov tahun lalu, dijangka diperkenalkan secara rasmi bersama sistem operasi Android 17.
Ia menggunakan protokol Quick Share bagi memastikan proses pemindahan data berlaku dengan pantas dan cekap.
Langkah ini dilihat sebagai usaha merapatkan jurang teknologi antara ekosistem Android dan iOS, sekali gus membuka potensi untuk Tap to Share dan NameDrop berfungsi merentas peranti Pixel, Galaxy S26 dan iPhone pada masa hadapan.
Sebagai rekod, Apple memperkenalkan NameDrop pada iOS 17 bagi memudahkan perkongsian maklumat hubungan antara pengguna iPhone dan Apple Watch melalui sentuhan fizikal peranti.