TAIPEI: Harga lebih banyak komponen komputer dijangka meningkat dalam masa terdekat susulan kenaikan kos memori dan storan digital yang berlarutan sepanjang tahun ini.
Menurut sumber industri, dua lagi segmen yang dijangka terkesan secara langsung ialah kad grafik (GPU) dan paparan skrin komputer, lapor Amanz.
PC Partner Group, syarikat induk kepada jenama ZOTAC, Inno3D dan Manli, berkata kad grafik mampu milik seperti NVIDIA GeForce RTX 5060 dijangka mencatatkan kenaikan harga runcit yang ketara dalam tempoh terdekat.
Situasi itu dikaitkan dengan bekalan cip memori untuk pasaran pengguna yang semakin terhad apabila memori GDDR6 dan GDDR7 semakin banyak digunakan bagi memenuhi permintaan sektor kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Syarikat teknologi global dilaporkan sanggup membayar harga premium bagi memastikan bekalan perkakasan AI mereka kekal terjamin untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa SK Hynix, Samsung dan Micron telah menjual kapasiti pengeluaran cip memori DRAM mereka bagi kontrak sehingga 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, pengeluar panel OEM, KTC, berkata syarikat itu tidak lagi mampu menyerap peningkatan kos komponen pembuatan dan dijangka menaikkan harga panel skrin dalam masa terdekat.
KTC turut memaklumkan bahawa pengguna yang merancang membeli monitor komputer mungkin mahu berbuat demikian lebih awal sebelum pelarasan harga dilaksanakan.
Penganalisis menjangka tekanan terhadap rantaian bekalan memori dan permintaan berterusan daripada sektor AI akan terus mempengaruhi harga komponen komputer pengguna dalam tempoh beberapa tahun akan datang.