Skip to main content

Teknologi

Huawei lancar HarmonyOS 7 dengan integrasi AI

HarmonyOS 7 Diumumkan Dengan Kemampuan Ejen AI -- amanz
Huawei mendakwa HarmonyOS 7 menawarkan prestasi sistem sehingga 15 peratus lebih lancar berbanding versi terdahulu. -Foto Amanz

SHENZHEN: Huawei mengumumkan sistem operasi generasi baharu HarmonyOS 7 pada Persidangan Pembangunan Huawei (HDC) yang berlangsung baru-baru ini, lapor Amanz.

Langkah itu menyaksikan Huawei mengikut perkembangan terkini sistem operasi dengan memperkenalkan keupayaan ejen kecerdasan buatan (AI) yang beroperasi secara terus pada peranti.

Menerusi kemas kini ini, fungsi AI dipertingkatkan apabila pembantu maya Celia diintegrasikan secara natif dengan lebih banyak aplikasi, sekali gus membolehkan pengguna mengendalikannya secara langsung.

Ciri tersebut menyamai keupayaan pembantu AI seperti Gemini dan Siri yang menggunakan teknologi AI untuk melaksanakan pelbagai tugas serta memahami konteks perbualan dengan lebih baik.

Selain itu, Huawei mendakwa HarmonyOS 7 menawarkan prestasi sistem sehingga 15 peratus lebih lancar berbanding versi terdahulu.

Dari segi reka bentuk, antara pembaharuan yang menonjol ialah ciri Spatial Lock Screen yang menampilkan kesan visual tiga dimensi (3D), memberikan ilusi pergerakan pada latar belakang apabila peranti digerakkan.

Reka bentuk antara muka HarmonyOS 7 juga dilihat mengambil inspirasi daripada konsep Liquid Glass iOS 26, dengan talam tetapan pantas yang menampilkan ikon lutsinar.

HarmonyOS 7 versi beta kini tersedia untuk komuniti pembangun di China.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan ciri yang akan dibawa ke peranti global melalui EMUI, yang kekal menjadi sistem perisian utama Huawei di pasaran luar termasuk Malaysia.

 

Must Watch Video

Advertisement