Skip to main content

Teknologi

Intel bangunkan teknologi cip baharu, sasar pengeluaran jangka panjang

https://amanz.my/2026565473
Lip-Bu Tan (foto) berkata kerja awal bagi nod proses tersebut telah bermula, dengan pelaksanaannya dijangka dalam jangka panjang. -Foto Amanz

INTEL Corporation memulakan pembangunan teknologi proses pengeluaran cip semikonduktor masa hadapan, antaranya Intel 10A dan Intel 7A, lapor Amanz.

Ketua Pegawai Eksekutif Intel Lip-Bu Tan berkata kerja awal bagi nod proses tersebut telah bermula, dengan pelaksanaannya dijangka dalam jangka panjang.

Langkah strategik itu bertujuan memberi keyakinan kepada pelanggan dan pasaran bahawa pembangunan teknologi semikonduktor syarikat akan terus berterusan, termasuk selepas pengeluaran nod 14A bermula.

Inisiatif berkenaan turut memperkukuh keupayaan Intel Foundry dalam menghasilkan cip generasi baharu, bukan sahaja untuk kegunaan dalaman tetapi juga bagi memenuhi permintaan pelanggan luar.

Pelan itu merupakan kesinambungan kepada inisiatif jangka pendek Five Nodes in Four Years (5N4Y), yang menyaksikan kemajuan dalam pembangunan cip termasuk penggunaan nod 18A.

Sementara itu, proses 14A dijangka mula beroperasi sekitar penghujung 2028.

Sebagai persediaan, Lip-Bu Tan memaklumkan Kit Reka Bentuk Proses (PDK) versi 0.9 bagi teknologi 14A akan diperkenalkan pada Oktober tahun ini.

Pelepasan PDK itu membolehkan pelanggan menguji keupayaan serta simulasi rekaan pada proses berkenaan, sekali gus membantu penilaian terhadap keperluan pengeluaran masing-masing.

Setakat ini, Intel memaklumkan beberapa syarikat telah menyatakan minat terhadap penggunaan nod 14A, namun identiti pelanggan masih belum didedahkan.

 

Must Watch Video

Advertisement