DEEPFAKE merupakan kandungan digital seperti video, audio atau gambar yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga kelihatan atau kedengaran seperti kandungan digital asli.
Teknologi AI ini boleh digunakan untuk meniru wajah dan suara seseorang bagi meyakinkan mangsa.
Perkembangan teknologi ini menyebabkan kita tidak lagi boleh menganggap sesuatu rakaman suara atau video sebagai bukti bahawa seseorang itu benar-benar bercakap atau melakukan sesuatu.
Salah satu bentuk penipuan yang menggunakan teknologi AI ini ialah vishing (voice phishing). Ia merupakan salah satu bentuk penipuan siber yang dilakukan melalui panggilan telefon.
Biasanya, si penipu menyamar sebagai pegawai bank, pihak berkuasa, syarikat atau individu yang dikenali untuk mendapatkan maklumat peribadi, nombor akaun, kata laluan, atau wang daripada mangsa.
Dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), vishing kini menjadi semakin membimbangkan kerana si penipu bukan sahaja menggunakan skrip dan teknik manipulasi psikologi, malah turut menggunakan teknologi AI untuk membantu taktik penipuan mereka.
Salah satu teknologi AI yang digunakan dalam vishing ialah pengklonan suara AI, iaitu teknologi yang membolehkan AI menghasilkan suara yang menyerupai suara seseorang.
Rakaman suara yang tersedia di media sosial, video atau sumber lain boleh digunakan sebagai bahan untuk menghasilkan suara buatan yang kedengaran seperti suara manusia sebenar.
Si penipu kemudiannya boleh menggunakan suara tersebut dalam panggilan telefon untuk menyamar sebagai ahli keluarga, rakan atau individu yang dipercayai.
Sebagai contoh, seseorang mungkin menerima panggilan yang kedengaran seperti anaknya dan dimaklumkan bahawa anak tersebut menghadapi kecemasan serta memerlukan wang dengan segera.
Mangsa yang panik mungkin terus memindahkan wang ke akaun yang diberikan oleh si penipu.
Oleh itu, setiap panggilan atau kandungan yang mencurigakan perlu disahkan melalui saluran rasmi atau nombor telefon yang diketahui sah sebelum sebarang maklumat atau wang diberikan.
Jadi, kita perlu berhati-hati dengan panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali dan pasanglah aplikasi yang boleh mengenal pasti dan memberi amaran tentang panggilan yang berkemungkinan spam atau scam seperti Whoscall dan Truecaller.
- Penulis ialah Ts Dr Zaid Mujaiyid Putra Ahmad Baidowi yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Kampus Dengkil.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.