Skip to main content

Teknologi

Langganan Google cecah 350 juta, iklan YouTube gagal capai sasaran

Langganan Perkhidmatan Google Mencapai 350 Juta Pada Suku Pertama 2026 Didorong YouTube Premium Dan Google One -- amanz
Platform perkongsian video itu mencatatkan pendapatan iklan sebanyak AS$9.88 bilion (kira-kira RM39 bilion), sedikit lebih rendah berbanding jangkaan penganalisis AS$9.99 bilion (kira-kira RM39.5 bilion). -Foto Amanz

PERKHIDMATAN langganan Google dilaporkan mencecah 350 juta pelanggan berbayar pada suku pertama 2026, didorong oleh pertumbuhan kukuh YouTube Premium dan perkhidmatan storan awan Google One, lapor Amanz.

Laporan kewangan Alphabet bagi tempoh tersebut menunjukkan penambahan 25 juta langganan baharu berbanding suku sebelumnya, sekali gus mencerminkan peningkatan tumpuan syarikat terhadap model perniagaan berasaskan langganan.

Advertisement

Namun, seiring peningkatan pengguna YouTube Premium yang menawarkan pengalaman tontonan tanpa iklan, pendapatan pengiklanan YouTube dilaporkan tidak mencapai sasaran penganalisis Wall Street.

Platform perkongsian video itu mencatatkan pendapatan iklan sebanyak AS$9.88 bilion (kira-kira RM39 bilion), sedikit lebih rendah berbanding jangkaan penganalisis AS$9.99 bilion (kira-kira RM39.5 bilion).

Sebagai perbandingan, pada suku keempat 2025, YouTube menjana pendapatan iklan yang jauh lebih tinggi iaitu AS$11.4 bilion (kira-kira RM45 bilion).

Alphabet tidak mendedahkan angka terperinci bagi langganan berbayar perkhidmatan kecerdasan buatan Gemini pada suku ini.

Syarikat itu bagaimanapun memaklumkan bahawa akses kepada ciri AI Gemini kini disepadukan dalam langganan Google One serta tawaran kepada pelanggan sektor perusahaan.

Alphabet mengunjurkan perubahan struktur hasil akan berterusan, dengan pertumbuhan langganan premium dijangka terus memberi tekanan kepada pendapatan iklan tradisional.

Perubahan corak penggunaan kandungan digital oleh pengguna global dikenal pasti sebagai antara faktor utama.

Must Watch Video