KUALA LUMPUR: Perlumbaan teknologi global hari ini bukan lagi sekadar menyaksikan siapa paling pantas membangunkan kecerdasan buatan (AI) atau teknologi kuantum, sebaliknya pihak yang mampu membentuk peraturan, membina kepercayaan dan memastikan inovasi memberi manfaat kepada masyarakat.
Menyedari hakikat itu, Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara peneraju dialog kawal selia digital antarabangsa menerusi penganjuran International Regulatory Conference (IRC) 2026, yang menghimpunkan badan kawal selia, penggubal dasar, pemain industri, ahli akademik dan organisasi antarabangsa bagi membincangkan hala tuju ekosistem digital global.
Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar berkata, persidangan yang memasuki edisi ketiga itu menjadi platform penting untuk negara berkongsi pengalaman, memahami cabaran baharu serta merangka pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menghadapi perubahan teknologi yang semakin pesat.
"Teknologi sentiasa berkembang dan setiap inovasi membawa peluang serta cabaran baharu. Apa yang paling penting ialah bagaimana kita memastikan teknologi itu memberi manfaat kepada rakyat dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
"Sebab itu kita menghimpunkan pelbagai pihak, bukan sahaja kerajaan, tetapi juga pengawal selia, industri, ahli akademik dan badan antarabangsa supaya setiap perspektif dapat diambil kira dalam membentuk dasar yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata pendekatan secara kolektif itu penting kerana landskap digital hari ini semakin kompleks, khususnya dengan kemunculan AI, teknologi kuantum dan pelbagai inovasi baharu yang memerlukan kerjasama rentas sektor serta rentas sempadan.
Mengulas tema "Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust", Eneng berkata ketiga-tiga elemen tersebut menjadi asas kepada pembangunan ekosistem digital yang mampu berkembang secara mampan.
Menurut beliau, sesuatu teknologi tidak akan bertahan sekiranya tidak disokong oleh ekosistem yang kukuh, manakala kepercayaan pengguna dan pelabur pula hanya dapat dibina melalui rangka kerja kawal selia yang jelas, konsisten dan telus.
"Pelabur memerlukan keyakinan bahawa terdapat kepastian dari sudut peraturan. Pengguna pula perlu yakin teknologi yang digunakan benar-benar selamat dan memberi manfaat, sebab itu elemen regulation, resilience dan trust saling berkait antara satu sama lain," ujar beliau.
Beliau menjelaskan, kejelasan dasar dan proses perundingan yang baik turut menjadi faktor penting dalam menarik pelaburan digital serta mempercepat pembangunan teknologi yang memberi nilai tambah kepada negara.
Antara topik utama yang menjadi tumpuan IRC 2026 ialah keselamatan dalam talian, AI serta perkembangan teknologi kuantum, yang dilihat semakin mempengaruhi ekonomi digital global.
Eneng berkata penyertaan pengawal selia dari pelbagai negara memberi peluang kepada Malaysia mempelajari pengalaman sebenar dalam melaksanakan dasar dan mekanisme kawal selia terhadap teknologi baharu.
"Teknologi kuantum pula mungkin masih di peringkat awal di Malaysia, tetapi beberapa negara sudah mempunyai pengalaman yang boleh dijadikan rujukan.
"Kita mahu memahami bagaimana teknologi ini digunakan dalam situasi sebenar, apakah cabaran yang dihadapi dan apakah pendekatan kawal selia yang paling berkesan," katanya.
Beliau berkata perkongsian daripada pakar yang mempunyai latar belakang berbeza mampu memberikan perspektif lebih luas kepada pembuat dasar, sekali gus membantu MCMC membangunkan rangka kerja kawal selia yang lebih responsif, mudah difahami dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Persidangan yang berlangsung pada 21 dan 22 Julai di Shangri-La Kuala Lumpur dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem digital yang inovatif, selamat dan dipercayai.