KUALA LUMPUR : Malaysia tidak boleh berfungsi secara silo dalam memastikan semua penduduk mendapat akses kepada jaringan perhubungan antara satu sama lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Ahmad Sabirin Arshad berkata, ia berikutan negara kini sudah menjadi sebahagian daripada komuniti global yang dihubungkan melalui sistem satelit.

"Hari ini saya rasa budak sekolah sudah tahu apa itu satelit dan kita tidak perlu jelaskan lagi kepada mereka kerana pengetahuan mereka sudah melangkaui.

"Ia menjadi lebih penting apabila kita mempunyai keseluruhan insfrastrutur ruang untuk negara kerana Malaysia kena beroperasi bukan secara silo lagi kerana kita sebahagian daripada perkampungan global, dan apa yang menghubungkan kita ialah jaringan perhubungan.

"Jadi ia bukan satu lagi pilihan tetapi kemestian kepada negara," katanya semasa menjadi tetamu Buletin AWANI Khas sempena pelancaran satelit MEASAT-3d di ibu negara, pada Khamis. 

MEASAT-3d : Malaysia tidak boleh berfungsi secara silo

Dalam pada itu, masalah akses kepada internet yang lebih pantas dijangka tidak menjadi satu isu lagi dalam memastikan semua orang mampu memasuki pasaran global.

"Malaysia sekarang memasuki pasaran global , menjual banyak produk dan barangan. Kita boleh menjual kaftan misalnya di Amerika Syarikat dengan harga tinggi.

"Jadi ini akan menjadi sumber kewangan juga kepada negara. Ini yang suatu yang baharu yang kita tak pernah terfikir dulu," ujarnya.

Justeru katanya, pelancaran MEASAT-3d akan menambahkan kapasiti internet bagi orang ramai yang sekali gus akan saling menghubungkan negara dengan masyarakat global. 

"Kecanggihan teknologi itu membolehkan kita untuk membolehkan kita bertelekomunikasi. Dulu, kita tidak mempunyai jaringan internet dan apabila kita tidak mempunyai satelit, kita tidak boleh akses kepada banyak perkara.

"Namun hari ini kita sudah ada teknologi aeroangkasa satelit. Ramai sudah boleh berhubung di hujung jari. Satelit memberi kelebihan berbanding sistem lain dan tiada limitasi jarak, di mana ia boleh jadi remote area di Malaysia.

"Itu manfaat paling besar kepada negara kerana ia juga memberi faedah kepada penduduk Sabah dan Sarawak," tambahnya.