MENLO PARK: Meta mengumumkan pembatalan satu ciri kecerdasan buatan (AI) baharu yang membolehkan pengguna menjana imej dengan merujuk kandungan daripada akaun Instagram awam selepas menerima kritikan meluas berhubung isu privasi.
Ciri berkenaan merupakan sebahagian daripada model penjana imej Muse Image yang membolehkan pengguna menandakan (@mention) akaun Instagram awam sebagai rujukan bagi menghasilkan imej AI, lapor Amanz.
Langkah tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan penyalahgunaan imej, penciptaan replika digital tanpa kebenaran serta penggunaan kandungan pengguna tanpa persetujuan yang jelas.
Meta berkata ciri itu pada asalnya diperkenalkan sebagai alat kreatif yang membolehkan pengguna menghasilkan kandungan visual baharu, di samping menyediakan pilihan kawalan privasi kepada pemilik akaun.
Bagaimanapun, selepas menerima bantahan daripada pengguna, pertubuhan industri hiburan dan kumpulan berkaitan hak imej individu, syarikat itu memutuskan untuk menarik balik ciri tersebut.
Meta dalam kenyataannya berkata ciri berkenaan "tidak memenuhi jangkaan" dan kini tidak lagi tersedia kepada pengguna.
Langkah itu dilihat sebagai usaha mengurangkan risiko penyalahgunaan teknologi AI generatif, terutama yang melibatkan penggunaan imej individu tanpa kebenaran.
Pada masa sama, insiden berkenaan sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai sejauh mana pengguna mempunyai kawalan terhadap penggunaan kandungan awam mereka oleh sistem AI di platform media sosial.