Skip to main content

Teknologi

Meta uji robot urus pusat data, mampu ambil alih sehingga 80 peratus tugas teknikal

71735618046_Robot.jpg
Robot berkenaan dilatih untuk melaksanakan tugasan teknikal seperti memasang dan mencabut kabel rangkaian, menetapkan semula pelayan serta mengendalikan beberapa komponen mekanikal lain. -Gambar hiasan
Advertisement

SAN FRANCISCO: Syarikat gergasi media sosial Meta dilapor sedang menguji penggunaan teknologi robotik bagi menguruskan operasi harian di pusat datanya, sekali gus menggantikan sebahagian tugasan fizikal yang sebelum ini dikendalikan oleh manusia.

Menurut laporan eksklusif portal teknologi WIRED, robot berkenaan dilatih untuk melaksanakan tugasan teknikal seperti memasang dan mencabut kabel rangkaian, menetapkan semula pelayan serta mengendalikan beberapa komponen mekanikal lain.

Langkah terbaharu itu berpotensi membolehkan Meta terus memperluas pelaburan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dengan keperluan tenaga kerja yang lebih rendah, sekali gus mengoptimumkan operasi dan mengurangkan kos.

Bagi merealisasikan perancangan tersebut, Meta kini sedang menguji pelbagai model robot daripada beberapa pembekal luar, termasuk Watney Robotics yang berpangkalan di San Francisco, Kinova dari Quebec dan ABB dari Zurich.

Sekiranya sistem automasi itu dilaksanakan sepenuhnya pada masa hadapan, seorang kakitangan menganggarkan ia berupaya mengambil alih sehingga 80 peratus beban kerja bagi jawatan teknikal tertentu.

Namun, keupayaan robot pada masa ini dilaporkan masih belum mampu menandingi kepantasan manusia.

Walau bagaimanapun, sehingga kini jurucakap Meta enggan mengulas lanjut mengenai ujian berkenaan, namun menegaskan syarikat itu terus melabur dalam usaha melatih dan mengambil pekerja mahir bagi membina serta mengendalikan infrastruktur AInya.

Must Watch Video

Advertisement