REDMOND: Microsoft mula melancarkan kemas kini pilihan Windows 11 KB5120998 yang membawa pelbagai perubahan penting pada antara muka pengguna sistem operasi itu, lapor Amanz.
Menerusi kemas kini berkenaan, bar tugasan kini tidak lagi terhad di bahagian bawah skrin, sebaliknya boleh dialihkan ke bahagian atas, kiri atau kanan mengikut keselesaan pengguna.
Bagi mengaktifkan fungsi itu, pengguna hanya perlu membuka menu Tetapan, memilih Personalisasi, kemudian mengubah konfigurasi di bawah pilihan gelagat bar tugasan.
Sistem operasi itu turut menyokong mod bar tugasan lebih kecil yang mengurangkan saiz ikon dan ketinggian bar tugasan. Bagaimanapun, fungsi tersebut bersama kotak carian penuh hanya disokong apabila bar tugasan diletakkan di bahagian atas atau bawah skrin.
Menu Mula turut menerima beberapa ciri baharu termasuk pilihan saiz paparan kecil, besar atau automatik, selain penjenamaan semula seksyen Recommended kepada Recent atau item terkini digunakan.
Kemas kini itu juga menyediakan tetapan privasi untuk menyembunyikan nama dan gambar profil pengguna, di samping membolehkan seksyen aplikasi dipinkan, item terkini dan senarai aplikasi dikawal secara berasingan.
Selain perubahan visual, Microsoft turut memperkenalkan penambahbaikan pada Windows Search bagi memberikan hasil carian yang lebih jelas dan teratur, selain meningkatkan prestasi File Explorer supaya dibuka dengan lebih pantas.
Kemas kini Windows 11 KB5120998 boleh dimuat turun secara pilihan menerusi Windows Update bermula sekarang, sebelum kebanyakan ciri berkenaan diedarkan secara lebih meluas melalui kemas kini berkala pada bulan hadapan.