Skip to main content

Teknologi

Microsoft uji Cloud Rebuild untuk pulihkan Windows 11 tanpa USB

Microsoft Menguji Ciri Cloud Rebuild Untuk Memudahkan Pemasangan Semula Sistem Operasi Windows 11 -- amanz
Ciri itu membolehkan komputer dipulihkan kepada keadaan yang bersih dan stabil menerusi pemasangan semula sistem operasi sepenuhnya, walaupun Windows yang sedia ada mengalami kerosakan kritikal atau gagal berfungsi dengan baik. -Foto Amanz
Advertisement

REDMOND: Microsoft sedang menguji ciri baharu dikenali sebagai Cloud Rebuild menerusi program Windows Insider bagi memudahkan pengguna memasang semula Windows 11 sekiranya berlaku kegagalan sistem, lapor Amanz.

Ciri itu membolehkan komputer dipulihkan kepada keadaan yang bersih dan stabil menerusi pemasangan semula sistem operasi sepenuhnya, walaupun Windows yang sedia ada mengalami kerosakan kritikal atau gagal berfungsi dengan baik.

Secara asasnya, Cloud Rebuild mempunyai fungsi yang menyerupai Reset This PC, namun menawarkan kelebihan tambahan kerana ia memuat turun imej Windows terkini serta pemacu peranti terus daripada Windows Update tanpa memerlukan pemacu kilat USB atau fail ISO luaran.

Pengguna boleh mengakses fungsi itu menerusi Windows Recovery Environment (WinRE) yang lazimnya dipaparkan apabila Windows 11 gagal but atau memerlukan proses pemulihan.

Oleh kerana proses tersebut bergantung kepada muat turun daripada awan, peranti perlu mempunyai sambungan internet yang stabil sama ada melalui rangkaian Ethernet atau Wi‑Fi bagi membolehkan imej sistem operasi dan pemacu peranti dimuat turun.

Fungsi itu dijangka memudahkan proses pemulihan komputer yang tidak dapat digunakan akibat masalah sistem yang serius, selain mengurangkan keperluan menyediakan media pemasangan fizikal seperti pemacu USB.

Microsoft turut memaklumkan bahawa sokongan untuk memulakan Cloud Rebuild menerusi platform pengurusan peranti perusahaan seperti Microsoft Intune akan diperkenalkan dalam keluaran akan datang.

Setakat ini, syarikat itu masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi Cloud Rebuild kepada semua pengguna Windows 11 di seluruh dunia.

 

Must Watch Video

Advertisement