NETFLIX mengumumkan pembelian InterPositive, syarikat teknologi pascaproduksi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang diasaskan oleh pelakon dan pengarah Ben Affleck pada 2022.
Pemerolehan ini sejajar dengan pendekatan Netflix untuk menggunakan AI bagi menyokong proses kreatif tanpa menggantikan peranan manusia, lapor Amanz.
Advertisement
InterPositive membangunkan model AI tersuai menggunakan rakaman sebenar sesebuah produksi bagi membantu kerja pascaproduksi, termasuk suntingan warna, pelarasan audio, pembetulan pencahayaan serta penambahan kesan khas apabila diperlukan.
Tidak seperti model AI generatif, sistem ini dilatih khusus untuk setiap projek dan tidak menghasilkan kandungan dari kosong.
Ben Affleck berkata InterPositive dibangunkan bagi memastikan kreativiti manusia kekal di pusat proses penceritaan, dengan AI digunakan sebagai alat yang memudahkan penyuntingan tanpa mengabaikan objektif seni pengarah dan jurugambar (DP).
Beliau turut menyertai Netflix sebagai penasihat kanan bagi memastikan teknologi ini dimanfaatkan secara bertanggungjawab dalam ekosistem kreatif syarikat.
Perkhidmatan InterPositive turut dianggap seiring dengan penyelesaian seperti model tersuai Adobe Firefly, yang membenarkan produksi melatih model AI menggunakan aset media mereka sendiri bagi memastikan kawalan artistik kekal berada dalam tangan pembikin.