Skip to main content

Teknologi

Pengguna Spotify kini boleh tambah nota pada senarai main

61644299506_spotify.jpg
Ciri itu menggabungkan catatan daripada editor Spotify dan pengguna menerusi dua komponen utama iaitu Editor Notes dan User Notes. -Gambar fail
Advertisement

STOCKHOLM: Spotify memperkenalkan ciri baharu dikenali sebagai Playlist Notes yang membolehkan pengguna menambah catatan peribadi pada kandungan dalam senarai main, sekali gus menjadikan pengalaman mendengar muzik lebih peribadi, lapor Amanz.

Ciri itu menggabungkan catatan daripada editor Spotify dan pengguna menerusi dua komponen utama iaitu Editor Notes dan User Notes.

Melalui Editor Notes, editor Spotify boleh menjelaskan sebab sesuatu lagu dipilih, kepentingan budayanya atau mengapa lagu itu dimasukkan ke dalam sesebuah senarai main.

Spotify turut memperkenalkan Editor Profiles, yang membolehkan pendengar mengenali individu di sebalik senarai main editorial melalui paparan lagu, album dan senarai main pilihan mereka.

Pada peringkat awal, Editor Notes dan Editor Profiles ditawarkan kepada pengguna percuma dan Premium berumur 16 tahun ke atas di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia dan New Zealand.

Spotify bagaimanapun belum mengumumkan bila ciri editorial itu akan diperluaskan ke pasaran lain.

Sementara itu, User Notes membolehkan pengguna menambah catatan pada lagu, episod pod siar atau buku audio yang dimasukkan ke dalam senarai main mereka sendiri.

Catatan tersebut boleh digunakan untuk berkongsi kenangan peribadi, cadangan atau sebab sesuatu kandungan dipilih dalam senarai main berkenaan.

Ciri itu sedang dilancarkan secara berperingkat menerusi aplikasi Spotify untuk iOS dan Android di lebih 100 pasaran seluruh dunia.

Must Watch Video

Advertisement