Skip to main content

Teknologi

Pertahanan siber proaktif jadi teras strategi baharu Singapura

K. Shanmugam berucap pada pembukaan Singapore International Cyber Week (SICW) 2026, pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
K. Shanmugam berucap pada pembukaan Singapore International Cyber Week (SICW) 2026, pada Selasa. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

SINGAPURA: Singapura akan beralih kepada pendekatan pertahanan siber lebih proaktif bagi memperkukuh keselamatan infrastruktur kritikal negara.

Menteri Kanan Singapura, K. Shanmugam berkata, pendekatan itu merupakan antara teras utama Strategi Keselamatan Siber Singapura 2026 yang dilancarkan sempena Singapore International Cyber Week (SICW) 2026.

Katanya, perkembangan pesat teknologi AI membolehkan penyerang siber melancarkan serangan dengan lebih pantas, berskala besar dan canggih, sekali gus meningkatkan risiko terhadap sistem penting negara.

Menurutnya, ancaman siber yang dipacu AI bukan lagi persoalan sama ada ia akan berlaku, sebaliknya bila ia akan berlaku.

“Ancaman siber yang didorong oleh AI bukan lagi persoalan sama ada ia akan berlaku, tetapi bila.

“Kita tidak boleh menolak penggunaan AI, namun kita perlu memastikan teknologi ini diterima pakai dengan cara yang selamat dan terjamin,” katanya ketika berucap pada pembukaan SICW 2026 di Singapura pada Selasa.

Shanmugam berkata, strategi baharu itu memberi penekanan kepada tiga pendekatan utama, iaitu bertindak lebih awal, melaksanakan pertahanan pada skala nasional serta mempercepat tindak balas seiring dengan perkembangan ancaman.

Jelasnya, pendekatan pertahanan tradisional yang bergantung kepada perlindungan sistem, penilaian berkala dan tindakan selepas insiden berlaku perlu diperkukuh dengan pemantauan berterusan bagi mengenal pasti kelemahan sebelum dieksploitasi pihak lawan.

Beliau turut menegaskan, kepentingan kerjasama antara kerajaan dan sektor industri memandangkan penyerang siber tidak melihat infrastruktur kerajaan dan syarikat swasta sebagai entiti yang terpisah.

Sebagai langkah memperkukuh pertahanan negara, Singapura menubuhkan Pusat Pemerintahan Keselamatan Siber Nasional (NC3) sebagai pusat operasi Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA).

Pusat itu akan membantu menyediakan gambaran menyeluruh mengenai situasi ancaman siber negara, mengesan kumpulan ancaman berterusan termaju (APT) lebih awal serta menyelaraskan tindak balas nasional terhadap serangan siber berskala besar.

Menurut Shanmugam, pengalaman Singapura menangani ancaman kumpulan APT menerusi Operasi Cyber Guardian menunjukkan keperluan untuk menyelaraskan kepakaran kerajaan dan industri dalam melindungi infrastruktur kritikal.

Operasi itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap ancaman kumpulan UNC3886 yang menyasarkan infrastruktur kritikal Singapura, termasuk rangkaian telekomunikasi.

Selain itu, kerajaan akan membantu membangunkan perkhidmatan Protective Domain Name System (PDNS) bagi menyekat sambungan kepada domain berbahaya sebelum ancaman sampai kepada pengguna.

Langkah berkenaan dijangka membantu mengurangkan risiko serangan pancingan data, penipuan dalam talian, perisian hasad dan ancaman siber lain.

Jelasnya, penggunaan AI dalam operasi pertahanan siber juga akan diperluas secara berperingkat, termasuk bagi membantu mengenal pasti aset terdedah, mengesan kelemahan sistem dan mempercepat ujian keselamatan.

Beliau berkata, Singapura akan bekerjasama dengan industri dan rakan teknologi bagi membangunkan keupayaan pertahanan berasaskan AI yang boleh disesuaikan mengikut keperluan negara.

Bagaimanapun, beliau mengakui pendekatan lebih proaktif tidak mampu menghalang semua serangan, justeru kerjasama antarabangsa kekal penting dalam menangani ancaman yang merentasi sempadan.

Menurutnya, tiada negara mampu melindungi ruang digital secara bersendirian memandangkan infrastruktur, teknologi dan kepakaran keselamatan siber tersebar merentasi pelbagai bidang kuasa.

“Keselamatan siber sememangnya merupakan cabaran bersama. Ancaman siber merentasi sempadan negara, manakala teknologi dan infrastruktur pula tersebar merentasi pelbagai bidang kuasa.

“Tiada negara, walau setinggi mana pun keupayaannya, mampu melindungi ruang digital secara bersendirian,” katanya.

Beliau berkata, strategi berkenaan turut merangkumi usaha memperkukuh infrastruktur kritikal, membangunkan keupayaan dalam bidang AI dan pengkomputeran kuantum, memperluas kerjasama global serta melabur dalam ekosistem dan tenaga kerja keselamatan siber.

Must Watch Video

Advertisement