Skip to main content

Teknologi

Pratempahan Grand Theft Auto VI dibuka 25 Jun, rekaan kotak didedah

Sumber: ROCKSTAR GAMES
Pengumuman berkenaan dilakukan serentak dengan pendedahan rekaan grafik kotak permainan rasmi yang akan digunakan untuk pasaran global menjelang pelancarannya pada 19 November 2026. -Foto Amanz
Advertisement

NEW YORK: Selepas beberapa kali ditangguhkan, Rockstar Games mengesahkan bahawa permainan video paling dinantikan, Grand Theft Auto VI (GTA 6), bakal dibuka untuk pratempahan secara rasmi bermula 25 Jun ini.

Pengumuman berkenaan dilakukan serentak dengan pendedahan rekaan grafik kotak permainan rasmi yang akan digunakan untuk pasaran global menjelang pelancarannya pada 19 November 2026, lapor Amanz.

Syarikat pembangunnya memaklumkan bahawa fasa pratempahan tersebut akan tersedia menerusi platform kedai digital (storefronts) serta beberapa peruncit terpilih.

Pengguna konsol PlayStation 5 dan Xbox Series X/S kini boleh menambah judul tersebut ke dalam senarai minat (wishlist) masing-masing untuk menerima notifikasi sebaik sahaja kaunter tempahan dibuka.

Rekaan kotak permainan terbaharu itu mengekalkan identiti ikonik siri GTA sejak era GTA III dengan susunan grid panel animasi yang memaparkan latar belakang bandar fiksyen Vice City.

Dua watak utama, Jason dan Lucia, diletakkan pada bahagian tengah panel, dikelilingi oleh barisan watak baharu yang lain termasuk Raul Bautista dan ahli perniagaan hartanah, Boobie Ike.

Walau bagaimanapun, Rockstar Games masih belum berkongsi sebarang perincian mengenai harga jualan rasmi atau edisi khas permainan yang akan ditawarkan pada hari pratempahan tersebut.

Selain itu, tarikh pelancaran bagi versi komputer peribadi (PC) juga belum diumumkan, dengan tumpuan penuh peluncuran lima bulan akan datang ini diberikan kepada pengguna konsol generasi baharu sahaja.

 

Must Watch Video

Advertisement