KUALA LUMPUR: Dalam tempoh lima tahun akan datang, Kerajaan akan memberi tumpuan untuk melonjakkan pendigitalan dan teknologi termaju.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Isnin, usaha itu dilakukan bagi membangunkan ekonomi negara berasaskan teknologi tinggi.

Ia akan dilaksanakan dengan memperhebat ekonomi digital, mengarus perdana pendigital bagi mencapai pembangunan inklusif, mempercepat R&D&C&I, serta memanfaatkan potensi teknologi termaju.

“Kejayaan usaha ini akan meletakkan Malaysia antara negara peneraju dalam rantaian bekalan antarabangsa, untuk produk dan perkhidmatan yang kompleks, dan mempunyai nilai tambah yang tinggi.

“Hal ini akan membolehkan Malaysia meningkatkan taraf hidup rakyat, dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan mampan,” menurut dokumen itu lagi.

Memperhebat Ekonomi Digital

Dalam tempoh pelaksanaan RMK-12, usaha kerajaan akan ditumpukan bagi menyediakan pesekitaran yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital, memperkukuh infrastruktur dan perkhidmatan digital, serta menjadikan Malaysia sebagai pusat digital ASEAN.

“Langkah akan diambil untuk menyelaras tadbir urus digital, melonjakkan perdagangan melalui e-dagang, mengembangkan ekonomi perkongsian, serat memperkukuh keselamatan siber.

“Langkah ini akan memastikan rakyat mendapat akses kepada peluang yang saksama dalam ekonomi digital, tanpa menjejaskan budaya, nilai, dan etika rakyat Malaysia,” menurut dokumen itu lagi.

RMK-12: Perluas 5G, tingkat kelajuan jalur lebar & perkecil jurang digital


BACA: [LAPOR LANGSUNG]: RMK-12 - Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan

Menyelaras Tadbir Urus Digital

Kerajaan akan terus memainkan peranan penting bagi menyediakan persekitaran yang menyokong dalam mempercepat pendigitalan.

“Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sebagai agensi utama, akan ditransformasi untuk bertindak secara proaktif, dan meneraju agenda digital kebangsaan dalam sektor awam.

“MAMPU akan merangka dasar dan strategi serta mencadangkan sistem dan peralatan berkaitan transformasi secara menyeluruh untuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” menurut dokumen itu lagi.

Selain itu, sebuah badan peneraju akan dikenalpasti untuk meningkatkan tadbir urus data, termasuk pembangunan infrastruktur analitis data raya, keselamatan data, dan modal ini.

Peraturan berkenaan pengkongsian data juga akan dibangunkan untuk mengatasi masalah berkaitan sistem saling boleh kendali, keselamatan siber, dan piawaian teknikal.

“Satu kajian akan dijalankan bagi mencadangkan rangka kawal selia dalam menyediakan ekosistem yang kondusif, bagi pembangunan ekonomi perkongsian, termasuk ekonomi gig,” menurut dokumen itu lagi.

Melonjakkan Perdagangan melalui e-Dagang

Bagi mengikuti arus perkembangan lanskap e-dagang, Kerajaan akan melaksanakan Pelan Hala Tuju e-Dagang Kebangsaan 2.0 2021-2025, khusus untuk melonjakkan aktiviti berkaitan.

Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan rangka kerja e-invoicing kebangsaan, bagi membolehkan rakan dagang berurus niaga dengan lancar, menggunakan mekanisme digital, terutama dalam mengeksport produk dan perkhidmatan digital.

Di samping itu, kolaborasi dan kerjasama serantau akan dimanfaatkan untuk melancarkan aliran data rentas sempadan, tanpa menjejaskan kedaulatan dan keselamatan data.

Membangunkan Bakat Digital Tersedia Masa Hadapan

Dalam tempoh pelaksanaan RMK-12, pelbagai langkah akan diambil bagi membangunkan bakat digital.

Menurut dokumen itu, langkah tersbut diambil bagi menggalakkan ekonomi digital, serta memupuk bakat digital tersedia masa hadapan.

“Rangka kerja strategi pembangunan bakat digital akan disediakan untuk menangani isu berkaitan, di samping menjadi panduan dan menjajarkan semua inisiatif pembangunan bakat digital.

“Kemudian pembiayaan yang mampan dan inklusif, akan disediakan bagi tujuan ini,” menurut dokumen itu lagi.