Skip to main content

Teknologi

Robot Tiangong Ultra atasi rekod dunia manusia dalam acara 400 meter

Rekod 400m Manusia Turut Dipecahkan Oleh Robot -- AMANZ
Catatan itu lebih pantas daripada rekod dunia manusia 43.03 saat yang dipegang atlet Afrika Selatan, Wayde van Niekerk, sejak Sukan Olimpik Rio 2016. -Foto Amanz
Advertisement

BEIJING: Robot humanoid Tiangong Ultra mencipta sejarah dalam industri robotik apabila mencatat masa 38.15 saat bagi acara 400 meter pada Sukan Robot Humanoid Sedunia, di sini, semalam.

Catatan itu lebih pantas daripada rekod dunia manusia 43.03 saat yang dipegang atlet Afrika Selatan, Wayde van Niekerk, sejak Sukan Olimpik Rio 2016, lapor Amanz.

Bagaimanapun, rekod tersebut kekal sebagai rekod dunia rasmi kategori manusia kerana pertandingan robot dan manusia berada dalam kategori berasingan.

Pencapaian itu menyusuli kejayaan Tiangong Ultra pada hujung minggu lalu apabila robot yang dibangunkan Beijing Humanoid Robot Innovation Center itu dilaporkan mencatat masa 9.39 saat dalam acara 100 meter, lebih pantas daripada rekod dunia manusia 9.58 saat milik legenda pecut Jamaica, Usain Bolt.

Acara pecut berkenaan berlangsung sempena edisi kedua Sukan Robot Humanoid Sedunia yang menghimpunkan lebih 2,000 robot humanoid dari 16 negara serta mempertandingkan 51 acara.

Antara acara lain yang dipertandingkan termasuk lompat tinggi, tenis meja, tinju, bola sepak dan seni mempertahankan diri Tai Chi.

Penganjuran edisi kali ini mencatat peningkatan ketara berbanding tahun lalu dari segi jumlah penyertaan dan acara yang dipertandingkan.

Kejohanan itu dianjurkan bagi menggalakkan pembangunan teknologi robot humanoid, sistem mobiliti autonomi dan kecerdasan buatan yang dijangka memainkan peranan lebih besar dalam sektor industri serta kehidupan harian pada masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement