Skip to main content

Teknologi

Saham Allbirds melonjak 782% selepas jual perniagaan kasut, beralih ke AI

Dalam dunia perniagaan, terdapat banyak cerita syarikat yang dahulunya dalam industri A sebelum masuk ke industri B. Nokia bermula sebagai syarikat memproses kayu, Nintendo bermula dengan mengeluarkan kad permainan dan Samsung pula menjual ikan serta mi sebelum semuanya menjadi nama besar dalam dunia teknologi.
Langkah drastik itu diambil susulan penjualan perniagaan kasut Allbirds kepada American Exchange Group pada bulan lalu dengan nilai AS$39 juta (kira-kira RM154.15 juta), sekali gus membolehkan entiti awam syarikat berkenaan menumpukan sepenuhnya kepada sektor teknologi. -Foto Amanz

SAHAM syarikat kasut Allbirds melonjak mendadak hampir 800 peratus selepas syarikat itu mengumumkan pengunduran daripada industri pembuatan kasut dan beralih kepada perniagaan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).

Syarikat yang dijenamakan semula sebagai NewBird AI menyaksikan harga sahamnya meningkat 782 peratus daripada AS$2.49 (kira-kira RM9.85) kepada paras setinggi AS$21.95 (kira-kira RM86.75) sejurus selepas pengumuman hala tuju baharu tersebut.

Advertisement

Langkah drastik itu diambil susulan penjualan perniagaan kasut Allbirds kepada American Exchange Group pada bulan lalu dengan nilai AS$39 juta (kira-kira RM154.15 juta), sekali gus membolehkan entiti awam syarikat berkenaan menumpukan sepenuhnya kepada sektor teknologi, lapor Amanz.

Sebelum ini, Allbirds berdepan kemelut kewangan sejak 2022 apabila permintaan merosot di tengah peningkatan kos operasi, yang menyebabkan nilai pasaran syarikat menjunam daripada sekitar AS$4 bilion (kira-kira RM15.8 bilion) kepada hanya AS$39 juta (kira-kira RM154.15 juta) ketika ia dijual.

Sebagai langkah awal dalam sektor teknologi, NewBird AI memperoleh komitmen pembiayaan sebanyak AS$50 juta (kira-kira RM197.6 juta) bagi memperoleh unit pemprosesan grafik (GPU) untuk menawarkan perkhidmatan GPU-sebagai-perkhidmatan (GPUaaS), selain membangunkan penyelesaian awan natif AI.

Transformasi perniagaan sedemikian bukan sesuatu yang asing dalam sejarah korporat global, memandangkan syarikat seperti Nokia, Nintendo dan Samsung pernah bermula dalam industri yang berbeza sebelum menguasai sektor teknologi.

Bagaimanapun, meskipun wujud amaran penganalisis mengenai risiko gelembung pelaburan AI, sentimen pasaran menunjukkan pelabur kekal optimis terhadap potensi pulangan jangka pendek dalam industri berkenaan.

 

Must Watch Video