SAN FRANCISCO: Syarikat gergasi kecerdasan buatan (AI), OpenAI, membatalkan perancangan untuk menawarkan ciri perbualan mod dewasa menerusi ChatGPT, menurut laporan Financial Times.
Keputusan itu menyusul selepas pengumuman pembatalan model penjanaan video, Sora, kelmarin, sekali gus menandakan pelarasan semula fokus syarikat berkenaan dalam mendepani persaingan pasaran.
Advertisement
Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk menawarkan mod perbualan yang lebih terbuka, namun cadangan itu menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak.
Kebimbangan utama adalah berkaitan pendedahan kandungan tidak bersesuaian kepada pengguna bawah umur, serupa dengan isu yang dihadapi oleh pesaing mereka, Meta.
OpenAI dilaporkan memfokuskan pada perkhidmatan teras dan pembangunan produk untuk pelanggan perniagaan.
Langkah ini dilihat sebagai strategi untuk mengekalkan pelanggan yang beralih kepada model AI lain seperti Google Gemini dan Claude.
Keputusan OpenAI mungkin dipengaruhi oleh tindakan undang-undang terhadap syarikat teknologi seperti Google dan Meta, yang berkaitan dengan isu ketagihan media sosial dan pendedahan bahan seksual kepada kanak-kanak.
Walaupun pembatalan itu belum diumumkan secara rasmi, penganalisis industri menganggapnya sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan masalah undang-undang dan reputasi pada masa hadapan.
Sebelum ini, OpenAI telah memperkenalkan pelbagai ciri keselamatan tambahan pada ChatGPT untuk memastikan interaksi pengguna mematuhi garis panduan etika.