Skip to main content

Teknologi

Spotify, Universal Music jalin kerjasama lesen muzik AI, benarkan lagu saduran secara sah

Menurut Spotify, hampir 70% pengguna Premium bersenam setiap bulan dengan lebih 150 juta senarai main kecergasan aktif di seluruh dunia. Melihat potensi ini sebagai sesuatu yang menarik, mereka kini memperkenalkan kategori baharu iaitu Fitness Hub yang memberi fokus terhadap kecergasan.
Menerusi perjanjian tersebut, ciri penciptaan berasaskan AI itu tidak disediakan secara percuma, sebaliknya memerlukan bayaran langganan tambahan selain pelan Spotify Premium sedia ada. -Gambar fail/Amanz

SPOTIFY dan Universal Music Group (UMG) mengumumkan kerjasama pelesenan muzik baharu yang membolehkan pengguna menghasilkan lagu saduran (cover) dan ubahan semula (remix) secara sah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Langkah itu dijangka merancakkan ekosistem muzik digital serta membuka sumber pendapatan baharu kepada penggiat seni menerusi perkongsian royalti kandungan yang dihasilkan pengguna, lapor Amanz.

Menerusi perjanjian tersebut, ciri penciptaan berasaskan AI itu tidak disediakan secara percuma, sebaliknya memerlukan bayaran langganan tambahan selain pelan Spotify Premium sedia ada.

Di Malaysia, langganan Spotify Premium Individual kini berharga RM17.50 sebulan.

Berdasarkan unjuran global sekitar AS$1 (kira-kira RM3.97) bagi ciri tambahan itu, pengguna perlu membayar kos tambahan bulanan.

Spotify memaklumkan hasil daripada kandungan muzik berasaskan AI yang dilesenkan akan dikongsi bersama artis asal dan penulis lirik, sekali gus menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pemegang hak cipta.

Inisiatif itu turut dilihat sebagai usaha menangani lambakan kandungan muzik AI tidak sah di media sosial yang sebelum ini menjejaskan hak pencipta asal.

Perkara itu menjadi perhatian susulan kontroversi melibatkan lagu klasik era 1990-an, “Cinta Tersimpul Rapi” nyanyian Anis Suraya, yang disadur menggunakan AI oleh akaun tertentu tanpa kebenaran.

Tindakan berkenaan mencetuskan kritikan dalam kalangan wargamaya, selain menimbulkan isu pembayaran royalti kepada komposer Azmeer serta penulis lirik Lukhman S. Kandungan itu kemudiannya diturunkan selepas tuntutan dibuat oleh pemegang hak cipta.

Spotify menegaskan ciri baharu itu dibangunkan berasaskan tiga prinsip utama iaitu persetujuan, pengiktirafan kredit dan imbuhan yang adil kepada komuniti kreatif.

Sementara itu, UMG melihat inisiatif berkenaan sebagai platform untuk menggalakkan kreativiti berasaskan AI secara bertanggungjawab, di samping memastikan teknologi tersebut menyokong penciptaan manusia serta memperluas nilai ekonomi dalam industri muzik global.

Must Watch Video

Advertisement