Syarikat pembekal cip turut hentikan bekalan kepada Huawei
Astro Awani
Mei 20, 2019 09:09 MYT
Mei 20, 2019 09:09 MYT
Pembuat dan pengedar cip dari Amerika Syarikat turut membekukan bekalan perisian dan komponen kepada syarikat Huawei Technologies Co. sebagai mematuhi tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut laporan Bloomberg, antara syarikat pembuat cip berkenaan termasuklah Intel Corp., Qualcomm Inc., Xilinx Inc., dan Broadcom Inc.
Difahamkan menurut sumber dalam laporan sama, kesemua syarikat terbabit telah mengeluarkan arahan kepada pekerjanya untuk menghentikan pembekalan kepada Huawei sehingga notis lanjut diberikan.
Langkah sekatan yang dikenakan pimpinan Donald Trump ke atas Huawei dilihat mungkin memberikan kesan.
Akan tetapi, Huawei pada masa sama telah mula membangunkan sistem operasinya sendiri secara dalaman sebagai alternatif kepada Android dan Windows dalam menghadapi situasi yang berlaku sekarang.
Bagaimanapun, Microsoft yang juga membekalkan perisian dan sistem operasi untuk komputer riba Huawei tidak memberikan sebarang kenyataan ke atas tindakan Amerika Syarikat tetapi berkemungkinan ia juga akan 'menghormati' perintah kerajaan AS.