AUSTIN: Tesla secara rasmi melancarkan perkhidmatan robotaksi baharu menggunakan model Cybercab yang beroperasi tanpa stereng dan pedal di Austin, Texas pada Jumaat, lapor Amanz.
Langkah itu menjadikan Tesla antara syarikat yang menawarkan perkhidmatan kenderaan autonomi sepenuhnya tanpa kawalan pemanduan fizikal kepada pengguna di Amerika Syarikat.
Pelancaran komersial berkenaan dilaksanakan hampir dua tahun selepas model prototaip Cybercab diperkenalkan pada Oktober 2024, selain susulan permulaan pengeluaran di Kilang Gigafactory Texas pada tahun ini.
Buat masa ini, perkhidmatan itu masih terhad kepada kawasan operasi yang ditetapkan secara geolokasi (geofenced) di sekitar Austin bagi tujuan pelaksanaan awal.
Setiap unit Cybercab direka untuk membawa dua penumpang dan dilengkapi ruang simpanan bagasi di bahagian belakang tanpa ruang simpanan hadapan (frunk).
Model itu menampilkan reka bentuk dua pintu jenis kepak rama-rama (butterfly doors) yang dibuka dan ditutup secara automatik.
Di dalam kabin, Cybercab dilengkapi skrin sentuh bersaiz besar di bahagian tengah yang memaparkan maklumat perjalanan serta membolehkan penumpang mengawal beberapa fungsi kenderaan.
Penumpang turut boleh mengakses pelbagai kandungan hiburan digital sepanjang perjalanan menerusi sistem yang disediakan.
Dalam jangka panjang, Tesla menyasarkan untuk menjual Cybercab pada harga di bawah AS$30,000 (kira-kira RM128,000) seunit, sekali gus membolehkan pemilik persendirian menyertai rangkaian robotaksi syarikat itu pada masa hadapan.