Skip to main content

Teknologi

Todak Academy, Metadise sasar 100 sekolah perkasa pendidikan digital, esukan di Sarawak

TODAK SARAWAK, credit: Todak Academy
Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian antara Todak Academy Sdn Bhd dan Metadise Sdn Bhd bersempena Borneo Animation & Games Festival (BAGFEST) 2026 di Kuching turut dihadiri Menteri Digital, Gobind Singh Deo. - Foto Unit Komunikasi Awam Sarawak
Advertisement

KUCHING: Todak Academy Sdn Bhd dan Metadise Sdn Bhd menyasarkan pelaksanaan program pendidikan digital di lebih 100 sekolah di Sarawak, melibatkan sekurang-kurangnya 1,250 pelajar menerusi kerjasama strategik yang dimeterai kedua-dua organisasi.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian yang disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bersempena Borneo Animation & Games Festival (BAGFEST) 2026 di Kuching.

Inisiatif itu memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses pendidikan digital, meningkatkan kemahiran teknologi serta membangunkan bakat esukan dalam kalangan generasi muda Sarawak, selaras dengan keperluan ekonomi digital.

Antara program yang bakal diperkenalkan termasuk pengaturcaraan, pembangunan permainan, animasi 3D, Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan pendidikan esukan, bagi memberi pendedahan praktikal kepada pelajar terhadap teknologi serta kemahiran berkaitan industri.

Image
TODAK SARAWAK, credit: Todak Academy
Majlis turut dihadiri Menteri Digital, Gobind Singh Deo. - Foto UKK Kementerian Digital

Menerusi kerjasama itu, Todak Academy akan menyumbang kepakaran dalam pendidikan digital, pembangunan kurikulum, latihan, modul pembelajaran dan jaminan kualiti, manakala Metadise memberi tumpuan kepada aspek infrastruktur, sokongan teknikal, penyelarasan program, pemasaran serta penglibatan komuniti.

Pendidikan esukan turut diketengahkan sebagai laluan pembelajaran dan pembangunan bakat secara tersusun, dengan penekanan terhadap kemahiran kerja berpasukan, komunikasi, disiplin, pemikiran strategik dan kepimpinan, selain pendedahan kepada peluang kerjaya dalam ekosistem industri esukan.

Kerjasama itu juga berpotensi menyediakan asas kepada pembangunan atlet dan bakat muda Sarawak yang berpotensi menyertai pertandingan bertaraf lebih tinggi, termasuk laluan berkaitan Sukan SEA di Sarawak, tertakluk kepada program pembangunan dan pemilihan yang berkaitan.

Image
TODAK SARAWAK, credit: Todak Academy
100 sekolah di Sarawak, melibatkan sekurang-kurangnya 1,250 pelajar bakal mendapat manfaat daripada inisiatif ini. - Foto Unit Komunikasi Awam Sarawak

Dalam jangka panjang, Todak Academy dan Metadise menyasarkan kerjasama itu sebagai platform untuk menghubungkan institusi pendidikan dengan industri serta membentuk saluran pembangunan bakat digital yang berterusan.

Pendekatan itu diharap dapat melengkapkan pelajar bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, malah sebagai pencipta, penghasil, profesional digital dan bakat esukan masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement