HSINCHU: Gergasi semikonduktor Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC) mencatatkan lonjakan hasil luar biasa sebanyak 45.2 peratus bagi Mac 2026, didorong oleh permintaan global yang melonjak tinggi terhadap cip kecerdasan buatan (AI).
Hasil disatukan bagi Mac 2026 dilapor mencecah NT$415.19 bilion (kira-kira RM56.76 bilion), sekali gus mencatatkan rekod pertumbuhan bulanan yang signifikan buat syarikat pengeluar cip kontrak terbesar di dunia itu.
Advertisement
Bagi prestasi suku pertama tahun ini, TSMC berjaya meraih hasil terkumpul berjumlah NT$1.134 trilion (kira-kira RM155 bilion), peningkatan 35.1 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Pencapaian memberangsangkan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh pesanan daripada pelanggan utama seperti Nvidia dan Apple bagi pembangunan aplikasi pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) serta infrastruktur AI yang semakin kompleks.
Meskipun pasaran teknologi global berdepan ketidaktentuan akibat ketegangan di Asia Barat, lonjakan hasil ini membuktikan daya tahan sektor semikonduktor AI yang kekal menjadi pemacu utama ekonomi digital masa kini.
TSMC juga dilaporkan sedang beroperasi pada kapasiti penuh bagi memenuhi permintaan proses 3 nanometer (nm), selain telah menerima tempahan penuh bagi teknologi 2nm yang dijadualkan untuk pengeluaran massa tidak lama lagi.
Prestasi kewangan yang melangkaui unjuran penganalisis itu turut mengukuhkan kedudukan Taiwan sebagai hab strategik dalam rantaian bekalan teknologi dunia yang semakin bergantung kepada cip berprestasi tinggi.