BEIJING: Syarikat robotik China, Unitree, memperkenalkan robot mecha boleh dipandu dikenali sebagai Unitree GD01 yang digambarkan sebagai antara model pertama dihasilkan secara besar-besaran dalam kategori berkenaan.
Robot itu mempunyai berat sekitar 500 kilogram termasuk pemandu dan ditawarkan pada harga bermula 3.9 juta yuan (sekitar RM2.7 juta), lapor Amanz.
Menurut Unitree menerusi video demonstrasi rasmi, GD01 direka sebagai kenderaan robotik yang mampu bertukar konfigurasi pergerakan antara mod dua kaki dan empat kaki bagi menyesuaikan pergerakan dengan pelbagai permukaan.
Dalam mod bipedal, robot itu boleh berjalan seperti manusia, manakala mod empat kaki pula meningkatkan kestabilan ketika bergerak di kawasan tidak rata.
GD01 turut dilengkapi kokpit dengan tempat duduk bagi membolehkan pengguna mengawal pergerakan dari dalam, selain menyokong kawalan jarak jauh untuk operasi tertentu.
Video demonstrasi itu turut menunjukkan robot berkenaan melaksanakan pergerakan fizikal berintensiti tinggi termasuk menolak objek berat serta menyesuaikan imbangan badan secara automatik.
Unitree menyatakan GD01 dibangunkan sebagai platform kenderaan robotik untuk kegunaan komersial dan demonstrasi, termasuk potensi dalam operasi industri, penyelamatan dan pelancongan.
Pelancaran model itu menandakan perkembangan terbaharu dalam industri robotik China yang semakin pesat membangunkan teknologi robot humanoid dan kenderaan berasaskan kecerdasan buatan.