CHICAGO: Fakulti Undang-Undang Universiti Chicago di Amerika Syarikat (AS) melarang penggunaan kebanyakan peranti elektronik dalam kelas teras membabitkan pelajar tahun pertama sebagai sebahagian daripada strategi menghadapi era kecerdasan buatan (AI).
Dasar baharu itu akan dikuatkuasakan bermula sesi akademik musim luruh 2026-2027 dan menyaksikan penggunaan komputer riba, tablet serta telefon di dalam kelas tidak dibenarkan, kecuali dalam keadaan tertentu yang diluluskan pensyarah.
Pelajar juga digalakkan mengambil nota secara manual menggunakan pen dan kertas bagi mengukuhkan kemahiran berfikir, berhujah dan membuat analisis secara bebas tanpa bergantung kepada AI.
Bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas, pensyarah boleh melantik seorang pelajar sebagai pencatat kelas yang dibenarkan menggunakan peranti elektronik untuk menyediakan nota digital bagi rujukan pelajar lain.
Pihak fakulti turut menetapkan peperiksaan bagi kursus teras tahun pertama dijalankan secara bersemuka tanpa akses kepada internet, fail elektronik atau aplikasi luar.
Menurut fakulti berkenaan, langkah itu bertujuan memastikan pelajar dapat menguasai kemahiran berfikir secara kritikal, strategik dan bebas sebelum memanfaatkan AI dalam amalan undang-undang.
Bagaimanapun, universiti mengakui AI kini menjadi sebahagian daripada amalan profesional dan tidak realistik untuk menghalang penggunaan sepenuhnya.
Sehubungan itu, pensyarah masih diberikan kelonggaran membenarkan penggunaan peranti bagi aktiviti tertentu seperti undian dalam kelas, manakala pelajar dibenarkan menggunakan AI bagi tujuan penyelidikan, semakan dan persediaan hujahan dalam keadaan yang ditetapkan.
Fakulti itu turut menawarkan kursus lanjutan berkaitan penggunaan AI secara bertanggungjawab, berkesan dan beretika dalam bidang perundangan.
Penggunaan AI dalam sektor guaman terus menjadi perdebatan global berikutan kebimbangan terhadap ketepatan maklumat yang dijana sistem berkenaan serta kesannya terhadap amalan profesional peguam.