Skip to main content

Berita

12 anggota Geng RT terlibat kumpulan jenayah terancang, didakwa Isnin

Shah Alam ,19 February 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Hussein Omar Khan berkata, semua suspek itu akan didakwa atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang aktif berkaitan dadah. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Seramai 12 anggota kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai Geng RT, yang dipercayai aktif dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah serta jenayah kekerasan di sekitar Lembah Klang sejak enam tahun lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Isnin ini. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek itu akan didakwa atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang aktif berkaitan dadah.  

Menurutnya, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

"Kesemua suspek ditahan dalam operasi khas di sekitar Lembah Klang pada 27 April lalu sebelum direman selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Dalam operasi sama, polis turut menahan seorang lagi ahli sindiket mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan rampasan ganja seberat 8.5 kilogram," katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.

Hussein berkata, sindiket itu dipercayai terdiri daripada ahli kumpulan kongsi gelap dan aktif dalam kegiatan pemprosesan serta pengedaran dadah jenis methamphetamine, heroin, ganja dan ephedrine di sekitar Kuala Lumpur serta Selangor sejak 2020.

Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati kesemua 12 suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi suspek sudah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang pada 8 Mei lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, suspek terbabit juga akan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Hussein berkata, polis kini masih giat mengesan saki-baki ahli sindiket yang dipercayai masih berada dalam negara.

Must Watch Video

Advertisement