KUALA LUMPUR: Kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter yang diumumkan kerajaan disifatkan tidak wajar dilaksanakan ketika ini, sebaliknya dicadang ditangguhkan sehingga selepas Aidilfitri atau dibuat secara berperingkat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata langkah itu dilihat tidak sensitif terhadap keadaan rakyat yang sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Advertisement
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan membentangkan pelan mitigasi yang jelas, menyeluruh dan berkesan di Parlimen bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi susulan konflik berpanjangan di Asia Barat.
Menurutnya, pembangkang memandang serius keputusan tersebut yang juga merupakan paras tertinggi dalam sejarah negara dan dijangka memberi kesan rantaian kepada kos sara hidup rakyat.
"Rakyat boleh faham harga minyak dunia ketika ini melonjak akibat konflik di Asia Barat, tetapi kerajaan perlu berhikmah dalam membuat sesuatu keputusan.
"Kenaikan ini akan memberi impak kepada kos pengangkutan dan seterusnya mendorong kenaikan harga barangan, sekali gus menambah beban rakyat," katanya dalam perkongsian di Facebooknya di sini pada Khamis.
Selain itu Hamzah turut mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan tidak memahami denyut nadi rakyat dalam membuat keputusan penting seperti ini.
Dalam masa sama, beliau berpendapat pengumuman diskaun tol sempena musim perayaan tidak mencukupi untuk mengimbangi kesan kenaikan harga diesel.
"Langkah itu mengundang persepsi sinikal seolah-olah kerajaan memberi sedikit, tetapi mengambil semula dalam jumlah yang lebih besar daripada rakyat," katanya.