Skip to main content

Berita

Kerajaan kekal syarat baharu import EV CBU - Johari

Sumber: Adobe Stock
Johari berkata, langkah itu adalah selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) bagi memastikan pembangunan industri automotif tempatan yang lebih berdaya saing dan mampan. - Gambar fail/ADOBE STOCK
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menarik balik keputusan berhubung syarat baharu pengimportan kenderaan elektrik (EV) siap dipasang sepenuhnya (CBU) dari luar negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu adalah selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) bagi memastikan pembangunan industri automotif tempatan yang lebih berdaya saing dan mampan.

Kata beliau, dasar itu juga bertujuan merasionalisasikan kemasukan model EV ke pasaran bagi melengkapkan penawaran produk tanpa menjejaskan pembangunan industri automotif tempatan.

Beliau memberitahu, kerajaan mengambil pendekatan seimbang antara menjaga kepentingan pengguna dan memperkukuh industri automotif negara.

"Pengguna berhak menikmati kenderaan elektrik pada harga mampu milik, manakala negara memerlukan industri automotif yang kukuh bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, membangunkan vendor tempatan, menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh rantaian bekalan domestik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai keputusan kerajaan mengekalkan syarat baharu pengimportan kenderaan EV siap dipasang.

Pada masa sama, Johari berkata, kerajaan tidak menghentikan usaha memperluaskan penggunaan EV apabila terus menawarkan pengecualian 100 peratus duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2027.

Katanya, insentif itu membolehkan pengeluar menawarkan model EV pada harga lebih kompetitif di samping menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan, pemindahan teknologi serta pembangunan vendor tempatan.

Selain itu, kerajaan turut mempercepat pembangunan ekosistem EV menerusi peluasan rangkaian kemudahan pengecasan di seluruh negara bagi meningkatkan akses pengguna.

Must Watch Video

Advertisement