Skip to main content

Berita

Kes gagal isytihar harta: 'Saya sihat' - Ismail Sabri

Kuala Lumpur , 27 Ogos 2026.Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk didakwa  di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Sebelum itu, Ismail Sabri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tidak mengisytiharkan harta iaitu wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas, tahun lalu. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: "Saya sihat, peguam sudah mengadakan sidang akhbar kan."

Itu ungkapan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemui pengamal media di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian selepas selesai menghadiri prosiding pertuduhan terhadapnya berhubung kegagalan mengisytiharkan harta.

Beliau kemudian beredar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 11.43 pagi, selepas sempat meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan penyokong yang menunggunya di pekarangan mahkamah.

Sebelum itu, Ismail Sabri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tidak mengisytiharkan harta iaitu wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas, tahun lalu.

Pemimpin UMNO berusia 66 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Prosiding pendakwaan terhadap Ismail Sabri yang dijadualkan 7 Ogos lalu, ditangguhkan ke 27 Ogos berikutan beliau mengalami masalah kesihatan.

Beliau menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar bagi merawat masalah jantung tidak normal di Institut Jantung Negara (IJN).

Sebelum ini, Ismail Sabri dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai perisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan 'rumah selamat' hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

Must Watch Video

Advertisement