PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus memperketat kawalan pengedaran bahan api bersubsidi susulan peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan akibat krisis tenaga global yang dipacu konflik berterusan di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah bersepadu itu diterjemahkan menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang merekodkan 8,148 pemeriksaan dan 155 kes dalam tempoh 16 Mac hingga 5 April lalu, dengan majoriti melibatkan diesel bersubsidi bernilai rampasan melebihi RM2 juta.
Advertisement
Menurutnya, sebanyak 60 kes diesel direkodkan dengan nilai rampasan tertinggi iaitu RM2.1 juta, diikuti 47 kes petrol RON95 (RM51,299), 21 kes LPG (RM37,822), serta 27 kes lain melibatkan minyak masak, gula, dan tepung gandum.
โKerajaan akan terus memastikan kestabilan bekalan tenaga negara serta melindungi subsidi rakyat daripada dimanipulasi sindiket yang mengambil kesempatan dalam situasi global yang tidak menentu,โ katanya dalam sidang media harian berkaitan Krisis Tenaga Global Malaysia, pada Isnin.
Fadillah menegaskan, konflik berpanjangan di Asia Barat memberi kesan langsung terhadap landskap tenaga global, khususnya melibatkan negara pengeluar minyak utama, sekali gus meningkatkan risiko gangguan rantaian bekalan dan ketidakstabilan harga tenaga.
Susulan itu, beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu memutuskan pengaktifan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) bagi memperkukuh pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap ketirisan barangan kawalan, khususnya diesel dan petrol.
JTPAP yang dipengerusikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut disertai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa kementerian dan agensi berkaitan.
Antara keputusan utama ialah pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu menerusi penglibatan menyeluruh agensi penguatkuasaan di darat, sempadan dan perairan, sebagai sebahagian usaha memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara kekal terkawal.
Dalam pada itu Fadillah berkata, satu mesyuarat susulan JTPAP pada Isnin turut diadakan bagi memperkukuh pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu.
Beliau berkata, mesyuarat itu memutuskan penetapan agensi peneraju mengikut sektor merangkumi KPDN bagi sektor darat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi sektor sempadan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi sektor perairan.
โKerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi, termasuk dengan menggantung atau membatalkan kelulusan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi dan subsidi diesel nelayan,โ katanya.
Beliau berkata, kawal selia terhadap aktiviti bunkering turut diperketat selain penubuhan Pasukan Khas Ops Tiris 4.0 Bersepadu di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak, yang akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan KPDN negeri sebagai sekretariat.
Pada masa sama, kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan SKDS menerusi penggunaan fleet card bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Tambahnya lagi, beberapa syor strategik hasil mesyuarat berkenaan akan dikemukakan secara berkala kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga negara terus terpelihara.