CYBERJAYA: Kecerdasan buatan (AI) bukan pengganti kreativiti manusia, sebaliknya pemangkin kepada penghasilan idea dan inovasi baharu yang mampu mengangkat Malaysia sebagai hab ekonomi kreatif bertaraf global.
Presiden Universiti Multimedia (MMU), Prof Datuk Mazliham Mohd Su'ud berkata, walaupun AI membuka pelbagai kemungkinan baharu, teknologi itu turut mencabar masyarakat untuk menilai semula aspek kreativiti, keaslian dan hak kepengarangan.
"Tapi di MMU, kami percaya teknologi tidak seharusnya menggantikan kreativiti manusia, sebaliknya memperkasakan pencipta untuk meneroka idea baharu, menemui kemungkinan yang belum diterokai dan menyelesaikan cabaran kompleks dengan cara yang sebelum ini sukar dibayangkan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pameran Kreatif Antarabangsa INVENTX 2026 di MMU, di sini, baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, wakil industri, ahli akademik, pelajar serta peserta dari dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, Mazliham berkata, penganjuran pameran yang bertemakan TAP-AI: Extension or Extinction? Crossing Boundaries, Opening-Up Possibilities itu mencerminkan komitmen MMU dalam memupuk budaya kreativiti, inovasi dan penyelidikan berimpak tinggi, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penyumbang kepada ekonomi kreatif global.
Katanya, tema pameran tahun ini mengajak masyarakat meneliti antara persoalan paling penting dalam era digital iaitu sama ada AI mampu memperluaskan potensi kreativiti manusia atau mengubah sepenuhnya definisi kreativiti itu sendiri.
Sementara itu, Pengarah Pameran Kreatif Antarabangsa INVENTX, Vimala Perumal berkata, AI sedang mengubah landskap industri kreatif, namun teknologi itu kekal sebagai alat yang dipandu imaginasi manusia.
Beliau berkata, golongan seniman sentiasa memanfaatkan teknologi baharu bagi menghasilkan karya yang bermakna dan masa depan kreativiti bergantung kepada cara manusia menggunakan AI secara bertanggungjawab, beretika serta kreatif.
"AI bukan sumber kreativiti, sebaliknya alat yang dibentuk imaginasi manusia. Masa depan kreativiti tidak akan ditentukan mesin, tetapi cara kita memilih untuk menggunakannya secara bertanggungjawab, beretika dan imaginatif," katanya.
Beliau berkata, pameran itu bermula pada 2023 dengan penyertaan lapan ahli akademik kini berkembang menjadi platform penyelidikan kreatif bertaraf antarabangsa yang mengiktiraf amalan kreatif sebagai satu bentuk penjanaan ilmu.
"Malah, banyak karya yang dipamerkan melalui INVENTX berkembang menjadi penerbitan jurnal, pembentangan persidangan, bahan pengajaran dan kolaborasi antara disiplin, sekali gus memperlihatkan kreativiti bukan sekadar hasil seni, tetapi juga medium penyelidikan dan penciptaan ilmu," katanya.
Pameran edisi keempat itu menghimpunkan 114 karya terpilih daripada 153 penyertaan yang diterima daripada 24 negara.
Selain Malaysia antara negara yang mengambil bahagian adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, Perancis, Jerman, Itali, China, Kanada, Turkiye, Sepanyol, Poland, Argentina, Indonesia, Vietnam, Taiwan, Palestin dan Hong Kong.
Dianjurkan Fakulti Multimedia Kreatif (FCM), MMU Cyberjaya, pameran itu menampilkan pelbagai karya merangkumi seni visual, ilustrasi digital, fotografi, pembikinan filem, media imersif, reka bentuk serta penghasilan kreatif berasaskan AI.
Pameran itu turut memperkukuh pembangunan Non-Traditional Research Outputs (NTRO) dengan membuktikan hasil kreatif mampu menyumbang kepada penyelidikan, inovasi, pendidikan, kerjasama industri serta pembangunan masyarakat.