PUTRAJAYA: Usaha memulihkan imej negara dan memperkukuh nilai kemanusiaan tidak boleh dipisahkan daripada tindakan tegas memerangi rasuah walaupun berdepan tentangan dan serangan balas.
Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim menegaskan, dalam mendepani pelbagai isu berbangkit kebelakangan ini, rakyat tidak harus terburu-buru menghukum, sebaliknya memberi ruang kepada proses siasatan yang telus dan adil.
Advertisement
“Kita cuba sedaya upaya baiki imej negara, bermula dengan kepimpinan. Kita tidak boleh mengizinkan perompakan harta negara,” katanya dalam ucapan pada majlis berbuka puasa di Seri Perdana bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan terhadap rasuah kini dilakukan tanpa memilih kedudukan atau pangkat, sesuatu yang disifatkan belum pernah berlaku dalam sejarah negara.
Beliau merujuk siasatan melibatkan pelbagai peringkat termasuk pegawai kanan kerajaan dan kepimpinan tertinggi agensi keselamatan sebagai bukti bahawa mesej yang mahu disampaikan adalah jelas bahawa tindakan mesti telus dan berani.
“Apa maksudnya? Maksudnya supaya rakyat faham bahawa tindakan mesti tegas. Tetapi bila kita bertindak, mereka yang terkesan akan cari jalan melawan. Itu yang salah,” katanya.
Anwar mendakwa ada pihak tertentu menggunakan dana besar dan rangkaian media sosial serta saluran politik untuk mengecam dan menyerang usaha memerangi rasuah.
“Orang yang bersungguh-sungguh melawan rasuah akhirnya dijadikan musuh,” ujarnya.
Bagaimanapun beliau berkata, tidak akan melayan serangan peribadi dan memilih untuk terus fokus kepada tanggungjawab pentadbiran.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan beliau tidak mengambil kesempatan daripada jawatan disandang, termasuk tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, sambil menyifatkan kediaman rasmi sudah memadai untuk menjalankan tugas.
Beliau menambah, perjuangan membanteras rasuah adalah soal prinsip dan maruah negara, bukan kepentingan peribadi, dan mesti diteruskan demi memastikan tadbir urus yang bersih serta keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan terus terpelihara.