Minggu calon sibuk cari 'Downline'!

Wan Syamsul Amly
April 21, 2013 08:57 MYT
MULAI hari penamaan, seseorang calon itu mempunyai 14 hari untuk mencari sokongan demi satu pangkah masing-masing daripada setiap pengundi di kawasan mereka.
Pengumuman calon Pilihan Raya Umum (PRU) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga bermakna rasmilah tugas berkempen bagi setiap bakal wakil rakyat.
Dua minggu ini akan digunakan sepenuhnya untuk mempamer kehebatan masing-masing 'menawan' hati rakyat.
Pelbagai strategi diguna dan pendekatan berbeza dipakai untuk golongan muda yang dikata salah satu faktor penyumbang kemenangan calon selain warga emas yang tidak pernah dilupa.
Hari siang bakal calon ini dipenuhi dengan aktiviti lawatan rumah ke rumah, menyampaikan bantuan keperluan harian selain 'mempamer' muka bersama jentera parti.
Malam pula naik ke pentas ceramah-ceramah atau persembahan kugiran serta dikir barat di kawasan lapang di sana-sini.
Itu hasil pemerhatian saya di kawasan Kuantan dan sekitarnya sejak hari pertama selepas penamaan calon.
Saya yakin situasi sama juga berlangsung di kesemua 222 Parlimen seluruh negara — cuma pendekatannya mungkin sedikit berbeza bergantung kecenderungan budaya di kawasan tertentu.
''Buat dikir malam-malam, tukang karutnya akan buat dialog kempen kepada parti. Orang kampung sini suka dengar dikir,'' kata seorang penduduk di Beserah, kira-kira 30 kilometer dari Kuantan.
Pemuda itu saya temui selepas calon P082 Indera Mahkota, Datuk Adnan Wan Mamat dan N12,Datuk Mohd Hazmi Yusof bersama kumpulan dikir barat membuat persembahan di kawasan berkenaan.
Calon-calon kini diibarat wakil syarikat jualan multi level (MLM) dan akan kesana ke mari mencari 'downline' masing-masing.
Syaratnya mudah, lebih ramai 'downline' atau pengundi, lebih banyak majoriti yang akan diperoleh pada hari pembuangan undi kelak.
Buatlah apa sahaja, janjilah macam-macam perkara, paling penting 'downline' perlu puas hati.
Konsep MLM ini dilihat cara terbaik diguna beberapa calon yang saya temui di sini. Saya rasa tarikan ini diguna pakai kebanyakan calon di seluruh negara.
Minggu ini juga pengundi boleh membanding mahu menyertai MLM yang mana satu selain sibuk membantu calon menambah 'downline' baru.
Apa-apa pun,keputusan akhir terletak pada pengundi itu sendiri, mereka harus pandai menimbang tawaran terbaik calon dan parti itu sendiri — jangan sampai terpedaya dengan janji-janji manis dan akhirnya wakil rakyat hilang entah ke mana.
Kepada calon, jadilah 'upline' terbaik kepada 'downline' masing-masing.
#dikir barat #PRU13 #SPR #wan syamsul amly