SEHARIAN mengikuti program Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Selangor, bagi saya lambang ikon '1Malaysia' itu benar-benar berusaha keras dan gigih mahu merampas kembali negeri 'Darul Ehsan' ini.

Bagaimana satu demi satu kawasan Parlimen di negeri pemerintahan pakatan rakyat ini diteroka tanpa ragu-ragu, tekad Najib dan pasukan basnya tidak boleh dipandang enteng.

Saya difahamkan sumber, kedudukan 50-50 Selangor pada bulan Mac dan meningkat kepada 60-40 seawal pembubaran Parlimen namun baru-baru ini menunjukkan kejatuhan ke 45-50 - tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) usai hari penamaan calon.

Kata sumber itu, kejatuhan kiraan berpunca daripada suara-suara sumbang yang tidak berpuas hati dengan beberapa nama yang 'naik' untuk menjadi calon di negeri itu - katanya bukan pilihan asal akar umbi.

Jika benar, ia pasti menjejas persiapan pilihan raya umum (PRU) Barisan Nasional (BN) sekali gus langkah memperbetulkan keadaan harus dijalankan - namun difahamkan juga akan selesai dalam masa terdekat.

Perjalanan panjang Najib dari Selayang, Gombak dan ke Shah Alam - juga beberapa kawasan yang tidak perlu disebut kerana bukan kerusi panas, misinya untuk bertemu sendiri dan berjumpa jentera parti.

Dari pemerhatian saya, hadirin yang hadir di setiap majlisnya di sesebuah pusat daerah mengundi (PDM) melebihi 5,000 orang setiap satu.

Mengikut teori 'matematik dalam politik', BN akan mendapat sekurang-kurangnya 20,000 undi di setiap kawasan selepas minimum 5,000 ketua keluarga didarab sekurang-kurangnya purata empat ahli keluarga lain yang boleh membuang undi setiap satu.

Namun teori itu sebenarnya tidak boleh diguna pakai sangat di Selangor, kerana ada ibu bapanya yang berpayung di bawah bendera BN namun anak-anaknya memihak kepada pakatan rakyat - sekali gus kira-kira itu tidak boleh diaplikasi di negeri ini.

Namun ada sedikit kegusaran kepada ketidakpastian saya terhadap teori matematik dalam politik itu.

Pilihan Raya Umum ke-13

Kerana apa, walau hujan turun mencurah-curah, lebat dan masyarakat yang menyambut kehadiran Najib di Shah Alam pada sebelah petang basah kuyup, mereka tetap bersemangat untuk mendengar sendiri ucapan Pengerusi Badan Perhubungan BN.

Walau itu hanya satu contoh terpencil,mungkin ada asasnya kerana teriakan dan cara mereka mengibar bendera mungkin boleh diambil kira satu faktor 'come back' BN di Selangor!

Biarlah ada desas desus apa pun, secara peribadi saya lihat masyarakat Selangor begitu komited mahu melihat tawaran yang bakal diberi BN seandainya berjaya memerintah negeri itu semula.

Saya terjumpa seorang kawan lama, pernah dikhabarkan bakal menjadi calon pada PRU kali ini namun sayangnya namanya tidak 'naik'.

Dia tidak habis-habis mengulang-ulang frasa 'rakyat Selangor OKU' kepada saya dan beberapa sahabat selepas majlis 'walkabout' Najib di Shah Alam - saya dan kawan-kawan hanya memandang sesama sendiri dan tertanya-tanya, siapa pula 'Orang Kurang Upaya' ini?

Tidak nampak raut kekecewaan di wajahnya - walau tidak tercalon, malahan dia bertekad untuk membantu calon baru kawasannya berkempen di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Terdetik di dalam hati, impian BN menakluk semula Selangor mungkin bukan lagi angan-angan jika semangat sama ini ditunjuk calon-calon lain yang tidak 'naik' namanya.

Bersalaman sebelum meninggalkan 'bekas' bakal calon, dia berbisik ke telinga saya;

''Kau hendak tahu apa itu O.K.U.?

''O.K.U itu Orang Kuat UMNO''

Itu dia yang kata, saya cuma tukang tulis sahaja...