LOS ANGELES: Supermodel global, Cindy Crawford meluahkan rasa dukacita yang amat mendalam susulan kematian anak lelakinya, Presley Gerber pada usia 27 tahun.
“Kami terlalu berduka. Dia seorang yang baik dan berjiwa indah, yang menyayangi dan disayangi, kini dan selamanya,” tulis Crawford menerusi Instagram sambil berkongsi foto hitam putih anaknya.
“Kami amat bangga dengan caranya menjalani kehidupan, dengan penuh kebaikan dan keberanian untuk menunjukkan sisi dirinya yang rapuh.”
Presley meninggal dunia pada 20 September lalu ketika berada di sebuah pusat pemulihan di California.
Polis memaklumkan, pihak berkuasa sedang menyiasat kematiannya sebagai kes disyaki melibatkan pengambilan dadah berlebihan.
Bagaimanapun, Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles menyenaraikan kes berkenaan sebagai masih menunggu siasatan lanjut.
Jabatan Polis Santa Monica pula berkata, tiada petunjuk bahawa kematian Presley mempunyai unsur jenayah.
Presley mengikuti jejak ibunya dan adiknya, Kaia Gerber, dalam bidang peragaan dan membuat penampilan sulung di pentas peragaan untuk jenama fesyen Itali, Moschino ketika berusia 16 tahun.
“Kami berasa amat bertuah kerana Presley menjadi sebahagian daripada kehidupan kami selama 27 tahun,” tulis Crawford dalam hantaran pada Ahad.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas limpahan kasih sayang serta sokongan daripada mereka yang mengenali keluarganya, termasuk orang ramai yang turut berkongsi kesedihan atas kehilangan berkenaan.
“Sehingga kita bertemu lagi, anak kesayangan kami. Kami akan menyayangimu selamanya. Ibu, Ayah dan Kaia,” tulisnya mengakhiri penghormatan itu dengan emoji sayap malaikat.
Hantaran berkenaan turut memaparkan tarikh kelahiran dan kematian Presley.
Sementara itu, Kaia turut mengenang abangnya menerusi satu hantaran pada Ahad, termasuk berkongsi video mereka menari bersama ketika masih kanak-kanak serta gambar kedua-duanya berdiri berhampiran laut.
Kaia turut menulis sepucuk surat empat halaman yang ditujukan kepada abangnya dengan panggilan “Prez”.
Dalam surat itu, Kaia mengimbau bagaimana dia pernah takut untuk menindik telinganya sehingga Presley menawarkan diri untuk melakukannya terlebih dahulu.
“Namun apabila saya memegang anting-anting yang mereka keluarkan daripada tubuhmu, apa yang saya mampu fikirkan hanyalah: Itu milikmu,” tulisnya.
Kaia turut meluahkan kesukaran menyesuaikan diri dengan kehilangan abangnya.
“Saya sedang belajar bagaimana untuk menyayangimu apabila saya tidak lagi dapat melihatmu.
“Bagaimana untuk memberitahumu sesuatu tanpa mencapai telefon untuk menghubungimu. Bagaimana untuk menjadi adikmu dalam dunia apabila saya tidak lagi dapat menggapaimu,” tulisnya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Presley pernah bercakap secara terbuka mengenai cabaran kesihatan mental serta penggunaan dadah.
Dia juga kerap memuat naik video di Instagram menerusi perkongsian yang dinamakan “Mental Health Mondays”.
Bapanya, Rande Gerber merupakan seorang ahli perniagaan terkenal dan merupakan rakan perniagaan pelakon Hollywood, George Clooney. - Agensi