TOKYO: Kementerian Pertanian Jepun pada Jumaat mendaftarkan tiga produk baharu, termasuk “teh Jepun”, di bawah sistem perlindungan petunjuk geografi (GI) bagi melindungi jenama produk pertanian dan perikanan negara itu susulan penularan produk tiruan di luar negara, lapor Kyodo News.
Selepas didaftarkan, produk berkenaan boleh dipasarkan dengan tanda GI, manakala kerajaan akan mengambil tindakan terhadap pelabelan palsu dan pelanggaran lain.
Pendaftaran baharu bagi teh Jepun itu merangkumi semua teh hijau yang ditanam dan diproses di dalam negara.
Langkah itu dianggap luar biasa kerana sistem GI lazimnya melindungi nama jenama yang dikaitkan dengan wilayah pengeluaran tertentu, sedangkan pendaftaran teh Jepun tidak menetapkan kawasan pengeluaran khusus.
Menurut Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan, inisiatif itu bertujuan menonjolkan perbezaan antara teh Jepun dan produk tiruan dari luar negara bagi meningkatkan nilainya, sejajar dengan populariti teh hijau yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa.
Permohonan GI bagi teh Jepun dikemukakan Oktober lepas oleh Japan Tea Central Public Interest Incorporated Association yang berpangkalan di Tokyo, susulan kebimbangan terhadap penggunaan jenama itu tanpa kebenaran ketika produk tiruan semakin berleluasa di luar negara.
Menteri Pertanian Norikazu Suzuki pada sidang media Jumaat berkata beliau menjangkakan pendaftaran itu akan “membantu memperkukuh jenama teh Jepun secara keseluruhan, meningkatkan langkah menangani produk tiruan dan terus merancakkan eksport yang kukuh.”
Selain teh Jepun, pendaftaran baharu itu turut meliputi “belut Jepun Tasik Hamanako” dari Wilayah Shizuoka dan “akar teratai Kaga” dari Wilayah Ishikawa, kedua-duanya di tengah Jepun.
Sistem perlindungan GI Jepun bagi produk pertanian dan perikanan diperkenalkan pada 2015.
Dengan pendaftaran terbaharu itu, jumlah keseluruhan produk yang didaftarkan kini mencecah 170.
Produk teh khusus yang telah dilindungi di bawah sistem GI ialah “teh hijau kukus dalam Kikugawa” dari Wilayah Shizuoka serta “gyokuro Yame tradisional dan asli” dari Wilayah Fukuoka.
Sistem serupa telah diperkenalkan di lebih 100 negara.
Jepun turut mempunyai aturan perlindungan bersama dengan Kesatuan Eropah dan Britain bagi memastikan produk berstatus GI dilindungi di negara rakan, sekali gus meningkatkan kredibilitinya di pasaran luar negara.
-- BERNAMA-KYODO