Skip to main content

Malaysia

Akses urat leher buka pilihan baharu penanam perentak jantung

Kaedah itu membuka laluan alternatif kepada pesakit yang mungkin tidak sesuai menjalani prosedur melalui salur darah di bahagian paha. - Gambar hiasan
Kaedah itu membuka laluan alternatif kepada pesakit yang mungkin tidak sesuai menjalani prosedur melalui salur darah di bahagian paha. - Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM berjaya melaksanakan prosedur penanaman perentak jantung tanpa wayar melalui akses urat leher buat kali pertama di Malaysia.
  • Prosedur ini menawarkan alternatif kepada pesakit yang tidak sesuai menjalani penanaman perentak jantung melalui salur darah paha, khususnya bagi kes anatomi kompleks.
  • Kejayaan ini memperkukuh inovasi rawatan kardiologi tempatan serta hasil kerjasama dengan pakar antarabangsa dalam bidang intervensi kardiovaskular.

KUALA LUMPUR: Pesakit yang berdepan masalah salur darah atau keadaan fizikal tertentu kini mempunyai pilihan untuk menjalani prosedur penanaman perentak jantung tanpa wayar menerusi akses urat leher (transjugular access), susulan kejayaan  Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melaksanakan prosedur itu buat kali pertama. 

Kaedah itu membuka laluan alternatif kepada pesakit yang mungkin tidak sesuai menjalani prosedur melalui salur darah di bahagian paha, iaitu pendekatan yang lazim digunakan bagi penanaman perentak jantung tanpa wayar jenic Micra (Micra leadless pacemaker).

HCTM dalam kenyataan memaklumkan prosedur menggunakan akses urat leher itu berjaya dilaksanakan pada 14 Okt lepas, sekali gus menjadikan hospital berkenaan perintis kaedah tersebut dalam kalangan hospital pengajar universiti di Malaysia. 

 Pakar kardiologi dan Elektrofisiologi HCTM Dr Mohd Asyiq Al-Fard Mohd Raffali berkata kejayaan itu membuktikan keupayaan pakar tempatan dalam mengendalikan teknologi intervensi kardiovaskular berteknologi tinggi.

“Dengan bimbingan dan kerjasama teknikal daripada pakar terkemuka antarabangsa Prof Dr Liu Jun dari Shenzhen Hospital, Chinese Academy of Medical Sciences, China, HCTM berjaya menempatkan perentak jantung Micra ke dalam kaviti jantung pesakit dengan hanya satu cubaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Prosedur itu dilakukan ke atas dua pesakit, masing-masing seorang lelaki berusia 70-an dan wanita berusia 80-an yang mengalami masalah kadar denyutan jantung perlahan selepas menjalani pemeriksaan susulan serta penilaian komprehensif. 

Menurut HCTM, perentak jantung tanpa wayar Micra lazimnya ditanam melalui salur darah vena di bahagian paha (transfemoral access), namun bagi pesakit yang mengalami sumbatan salur darah atau anatomi kompleks, akses menerusi urat leher (internal jugular vein) menjadi alternatif untuk meletakkan perentak jantuang terus ke dalam ventrikel kanan tanpa memerlukan wayar implan atau poket pembedahan di dada.

Kaedah itu juga berpotensi membolehkan pesakit bergerak lebih awal selepas prosedur, sekali gus meningkatkan keselesaan sepanjang tempoh pemulihan.

Kejayaan itu mencerminkan komitmen HCTM UKM dalam memacu inovasi rawatan kardiologi di Malaysia, selain memperkukuh pemindahan teknologi dan kepakaran melalui kerjasama dengan pakar antarabangsa.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement