GEORGE TOWN: Tiga hari penuh keceriaan di Queensbay Mall, di sini, melabuhkan tirai pada Ahad apabila Astro Home of Kids 2026 menutup edisi Pulau Pinangnya dengan pelbagai aktiviti yang menggabungkan hiburan, pembelajaran dan pengalaman interaktif untuk seisi keluarga.
Berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos, program bersempena ulang tahun ke-30 Astro itu mengetengahkan tema “Discover Your Dreams” yang menggalakkan kanak-kanak meneroka pelbagai pekerjaan, mengenal minat serta membayangkan cita-cita masa depan menerusi pendekatan bermain sambil belajar.
Antara momen menarik ialah Himpunan Cita-Cita yang menyaksikan kanak-kanak berarak dengan memakai kostum berdasarkan cita-cita mereka sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Astro 30 selain turut diiringi dengan watak popular Didi & Friends, Makania, Oga & Friends dan The Eggies, sekali gus menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan serta ulang tahun ke-30 Astro.
Kemeriahan turut diserikan dengan pelbagai stesen aktiviti bertemakan kerjaya, permainan interaktif, persembahan maskot dan sesi Meet & Greet bersama watak popular seperti Didi & Friends, PAW Patrol, Cocomelon, Pinkfong, The Eggies, Makania dan Oga & Friends.
Bagi Vikneswaran, 40, kepelbagaian karakter yang hadir menjadi antara tarikan utama buat anak-anaknya, khususnya Didi & Friends dan PAW Patrol.
“Anak-anak seronok, ada macam-macam karakter, mereka paling suka Didi & Friends dengan Paw Patrol,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Astro Home Kids Pulau Pinang, di sini, pada Ahad.
Malah, pengalaman di Astro Home of Kids turut mencetuskan minat baharu dalam kalangan kanak-kanak terhadap kerjaya tertentu.
“Anak saya juga menunjukkan minat nak jadi bomba selepas tengok ada pakaian bomba dan daripada animasi Paw Patrol sendiri,” tambah Vikneswaran.
Sementara itu, Nur Shafiqah Farhana Abdul Halim, 28, berkata kepelbagaian aktiviti menjadikan acara itu menyeronokkan bukan sahaja untuk anak-anak, malah ibu bapa.
“Macam-macam aktiviti ada yang buatkan acara ni seronok.”
“Anak-anak seronok jadi ibu-bapa pun seronok,” jelasnya.
Sebagai pelanggan Astro, beliau turut menyifatkan peluang bertemu dan beramah mesra bersama watak animasi sebagai satu nilai tambah kepada pengalaman keluarga.
“Sebagai pelanggan Astro, saya rasa seronok sebab ada peluang Meet & Greet dengan watak animasi yang ada hari ini, satu kelebihan lah untuk kami,” ujarnya.
Bagi CM Lim, 42, pula, PAW Patrol menjadi antara sebab beliau membawa anaknya berkunjung selepas mengetahui mengenai acara itu menerusi saluran radio MyFM.
“Sebenarnya, saya mendapat tahu mengenai acara ini melalui MyFM, jadi kami sengaja datang singgah.
“Sebab anak saya suka PAW Patrol dan mahu melihat karakter animasi itu secara bersemuka,” tambahnya.
Beliau turut melihat program itu sebagai ruang yang menghimpunkan masyarakat, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
“Ia menghimpunkan orang ramai.
“Ya, menghimpunkan orang ramai dan acara ini juga berlangsung berdekatan dengan Hari Merdeka.
“Jadi, kita dapat melihat semua kaum berkumpul di sini dan ia turut menyumbang kepada perpaduan di Malaysia,” jelasnya.
Astro Home of Kids 2026 merupakan penganjuran tahun ketiga program berkenaan yang kembali dengan pendekatan menggabungkan hiburan dan pembelajaran melalui pengalaman yang membantu kanak-kanak meneroka pekerjaan, minat dan aspirasi masa depan.
Selain Pulau Pinang, jelajah Astro Home of Kids 2026 dijadualkan diteruskan di Pavilion Damansara Heights pada 6 hingga 8 November diikuti Johor Bahru pada 4 hingga 6 Disember dan Sunway Pyramid pada 24 hingga 27 Disember 2026.
Penutup edisi Pulau Pinang hari ini membuktikan pengalaman untuk kanak-kanak boleh hadir dalam pelbagai bentuk termasuk bermain dan bertemu watak kegemaran, meneroka cita-cita dalam suasana penuh warna sekali gus mengangkat semangat Hari Kebangsaan dan 30 tahun Astro bersama keluarga Malaysia.