Skip to main content

Malaysia

Baju teluk belanga, warisan Johor malar segar

JOHOR BAHRU , 4 April -- Pemilik Teluk Belanga Design, Jamil Sukaimi, menunjukkan ciri-ciri Baju Melayu Teluk Belanga seperti tiga poket, pesak, kekek serta potongan longgar, selain bahagian leher yang dijahit menggunakan teknik tulang belut, iaitu jahitan tangan halus yang memerlukan ketelitian tinggi, ketika ditemui Bernama di kedainya, Teluk Belanga Design, baru-baru ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  JOHOR BHARU, April 4 -- Teluk Belanga Design owner Jamil Sukaimi highlights the defining
Kata Jamil, keistimewaan utama baju teluk belanga terletak pada bahagian leher yang disembat seni tulang belut, iaitu jahitan tangan menyerong yang halus dan memerlukan ketelitian tinggi. - Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Baju Melayu teluk belanga atau lebih dikenali sebagai baju Johor, bukan sekadar pakaian tradisional rakyat Johor tetapi merupakan lambang identiti mereka yang diwarisi sejak penghujung abad ke-19.

Pemakaiannya dipercayai bermula pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar ketika pusat pentadbiran Johor masih di Teluk Belanga, Singapura. 

Advertisement

Memetik maklumat daripada laman sesawang royal.johor.my, pada ketika itu ada dua jenis baju kurung Johor yang diperkenalkan oleh Almarhum, iaitu baju cekak musang untuk kerabat diraja serta golongan bangsawan, dan baju teluk belanga bagi rakyat biasa.   

Akan tetapi, seiring dengan peredaran zaman, pada 1982, Almarhum Sultan Iskandar yang memerintah Johor  ketika itu berhasrat untuk tidak membezakan darjat raja dengan rakyat, justeru baginda meminda protokol pakaian dengan menetapkan baju Melayu teluk belanga dijadikan pakaian rasmi orang Melayu Johor.  

Berkongsi pengetahuannya tentang pakaian itu, Jamil Sukaimi yang merupakan pemilik butik Teluk Belanga Design di sini, berkata, keunikan baju Johor tidak hanya pada reka bentuk, tetapi juga nilai adab dan budaya yang dibawa.  

“Dengan pakaian itu sendiri orang sudah boleh mengenali identiti seseorang. Tak perlu sebut berasal dari mana, tetapi apabila memakai baju Johor lengkap dengan samping, songkok dan beralas kaki, orang tahu itu orang Johor.

"Masyarakat Johor juga terkenal dengan budaya berpakaian lengkap, terutamanya ketika menghadiri majlis rasmi ataupun semasa menunaikan solat Jumaat," katanya ketika ditemui Bernama di kedainya baru-baru ini.

KEUNIKAN JAHITAN TULANG BELUT

Menurut anak jati Simpang Renggam ini, keistimewaan utama baju teluk belanga terletak pada bahagian leher yang disembat seni tulang belut, iaitu jahitan tangan menyerong yang halus dan memerlukan ketelitian tinggi.

“Di Johor, kebiasaannya orang datang solat Jumaat dengan berpakaian lengkap. Itu yang membezakan budaya kami dengan sesetengah tempat lain,” katanya.

Selain itu, katanya, baju Johor yang asli mempunyai ciri-ciri tertentu seperti tiga poket, pesak, kekek serta potongan longgar yang mempunyai fungsi praktikal kerana memudahkan pergerakan termasuk ketika menunaikan solat.

"Zaman dulu, keseluruhan baju Johor dijahit menggunakan tangan melalui teknik yang dikenali sebagai 'sembat satu badan', menunjukkan ketelitian tinggi tukang jahit ketika itu.

"Selain jahitan tulang belut, satu lagi teknik lama dikenali sebagai 'perenggi' pernah digunakan oleh komuniti Bugis di kawasan Benut dan Pontian. Namun, teknik tersebut dipercayai telah pupus kerana tiada lagi tukang jahit yang memahirinya," kata beliau.

Menurut Jamil, jahitan tulang belut juga tidak boleh digantikan dengan mesin kerana kehalusan jahitan seni itu hanya dapat dihasilkan melalui kemahiran tangan.

Beliau sendiri mempunyai kira-kira 10 orang tukang jahit mahir yang mampu menghasilkan jahitan tersebut, namun jumlah itu katanya masih tidak mencukupi bagi menampung tempahan yang tinggi, terutama ketika musim perayaan atau majlis keraian.

Tambahnya, kebanyakan tukang jahit mahir yang masih aktif kini berusia 40 tahun ke atas dengan ada yang sudah mencecah 60 tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang masa depan seni jahitan halus seperti tulang belut disebabkan kekurangan bakat muda.

PERLU SOKONGAN GOLONGAN MUDA

Menurut Jamil, bagi memastikan kemahiran tersebut tidak hilang, beberapa pertandingan jahitan tulang belut pernah dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kebudayaan negeri.

Walaupun pertandingan itu menarik ratusan peserta, namun beliau yang tampil sebagai juri pada pertandingan-pertandingan berkenaan, mendedahkan kebanyakan peserta yang benar-benar mahir terdiri daripada golongan berusia.

Beliau berpendapat kemahiran jahitan tradisional seperti itu wajar diajar di institusi pendidikan seperti kolej komuniti atau program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar generasi muda dapat mempelajarinya.

“Kalau generasi muda tidak belajar, bukan sahaja jahitan tulang belut berisiko hilang, warisan lain seperti songkok, capal, kompang dan gasing juga boleh pupus,” katanya, menambah kemahiran itu memerlukan latihan berterusan kerana, “semakin kerap seseorang menjahit, semakin kemas dan cantik hasil jahitannya.”

PILIHAN KAIN DAN BUTANG ISTIMEWA

Selain jahitan, pemilihan kain juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan baju Johor yang selesa.

Beliau berkata, pada zaman dahulu, kebanyakan baju Johor menggunakan kain kapas kerana lebih sesuai dalam cuaca panas di Malaysia selain mampu menyerap peluh dengan baik. Namun kini pelbagai jenis kain digunakan termasuk kain kapas Jepun, kapas linen serta fabrik moden lain seperti satin dalam pembuatan baju itu.

Bagaimanapun, katanya, kain kapas masih menjadi pilihan utama kerana lebih selesa dipakai sepanjang hari.

Melengkapkan pakaian tradisional Johor adalah penggunaan butang khas yang mempunyai “rumah” atau tempat tersendiri, dikenali sebagai insang pari.

Jamil berkata, pada zaman dahulu, butang baju Johor diperbuat daripada batu permata seperti intan dan berlian yang ditempah di kedai emas, tetapi sekarang butang itu menggunakan batu kristal seperti Swarovski atau zirkon dengan harga lebih mampu milik.

Mendedahkan set butang baju Johor boleh mencecah ribuan ringgit bergantung pada jenis batu hiasan yang digunakan, terutama yang dijual di kedai-kedai emas, beliau sendiri bagaimanapun menyasarkan harga mampu milik bermula pada  RM90.

TEMPAHAN DARI DALAM DAN LUAR NEGARA

Ditanya kos tempahan, Jamil berkata, dari segi harga, tempahan sepasang baju Johor biasanya bermula sekitar RM300 bergantung pada jenis kain dan saiz pelanggan.

Katanya lagi, baju Johor yang dijahit dengan teknik tulang belut dijual sekitar RM380 sepasang, namun harga itu lebih rendah berbanding dengan yang dijual di luar Johor seperti Kuala Lumpur yang boleh mencecah RM500 biarpun tanpa sembat tulang belut.

"Tempahan bukan sahaja datang daripada pelanggan tempatan, malah dari luar negara termasuk Singapura, Australia, Dubai, dan London yang menghargai keaslian jahitan tradisional itu,” katanya, menambah beliau turut pernah menghasilkan baju Johor untuk selebriti dan artis tempatan, antaranya Sheila Rusly dan keluarga serta penyanyi Datuk Amy Search.

BERMULA DARI KEDAI KECIL

Berkongsi pengalaman dan perjalanan perniagaannya, pengusaha baju Johor tersohor itu berkata, beliau bermula dari bawah sebelum membulatkan tekad untuk menceburi bidang yang diminatinya  tersebut dengan berbekalkan ilmu dalam jurusan rekaan fesyen di Institut Kemahiran MARA selama dua tahun bermula 1987.

Beliau berkata, kerjayanya dalam dunia jahitan mula berkembang selepas menamatkan latihan industri di sebuah butik di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Johor Bahru.

Walaupun pernah disarankan agar ke ibu negara bagi mengembangkan kerjayanya, usahawan ini memilih untuk kembali ke Johor kerana mahu menjaga ibu bapanya selain meneruskan minat dalam bidang jahitan di negeri sendiri.

Selepas beberapa tahun bekerja dan berjaya mengumpul sedikit modal, beliau membuka kedai jahitan kecil di Plaza Kota Raya sebelum perniagaannya mula berkembang apabila menerima tempahan menghasilkan baju Johor untuk Tan Sri Abdul Ghani Othman semasa tokoh itu menjawat jawatan Menteri Besar Johor, termasuk pakaian bagi majlis perkahwinan anaknya.

"Sejak itu, tempahan terus meningkat daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin negeri, pegawai kerajaan, selebriti serta orang ramai.

"Kini, tempahan bukan hanya untuk hari raya tetapi juga majlis perkahwinan kerana semakin ramai keluarga memilih mengenakan baju Johor dengan warna sedondon sebagai tema majlis," katanya yang menetap di Iskandar Puteri.

Walaupun fesyen moden seperti kurta atau potongan baju yang terlalu ketat kian popular, Jamil tetap berharap masyarakat terus menghargai keaslian pakaian tradisional seperti baju Johor.

“Selagi masyarakat terus menghargai seni jahitan tradisional, mengekalkan ciri-ciri tradisional seperti berleher tulang belut, berkocek tiga, berpesak dan berkekek yang digandingkan dengan seluar dan samping, baju Melayu teluk belanga akan kekal sebagai warisan yang tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas,” ujarnya.

 -- BERNAMA

 

 

Must Watch Video