Skip to main content

Malaysia

Duta Diveheart Malaysia terima pengiktirafan Scuba Diving Hall of Fame

Pengasas Kids Scuba dan Duta Diveheart Malaysia, Syed Abd Rahman Syed Hassan menerima anugerah berprestij International Scuba Diving Hall of Fame (ISDHF) 2026. Foto AWANI
Syed Abd Rahman menerima anugerah berprestij International Scuba Diving Hall of Fame (ISDHF) 2026. - Foto Cayman Islands Department of Tourism/Janet Jarchow
Advertisement

GRAND CAYMAN: Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, nama Malaysia terus mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa apabila pengasas Kids Scuba dan Duta Diveheart Malaysia, Syed Abd Rahman Syed Hassan, menerima anugerah berprestij International Scuba Diving Hall of Fame (ISDHF) 2026.

Pengiktirafan itu diumumkan dalam satu majlis gilang-gemilang di Grand Cayman yang menghimpunkan tokoh serta penggiat industri selaman skuba dari seluruh dunia.

Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelancongan Kepulauan Cayman, Gary B Rutty, sekali gus mengangkat nama Malaysia dalam komuniti selaman antarabangsa.

Pencapaian itu menjadi lebih bermakna apabila diraikan dalam bulan kemerdekaan negara, dengan Jalur Gemilang berkibar megah sebagai simbol kejayaan rakyat Malaysia di arena global.

Menurut Syed Abd Rahman, pengiktirafan tersebut bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya hasil usaha kolektif yang dibina bersama komuniti penyelam, sukarelawan, jurulatih serta rakan strategik sepanjang perjalanan lebih dua dekad dalam bidang itu.

Beliau berkata, perjalanan selama kira-kira 32 jam dari Kuala Lumpur ke Kepulauan Cayman terasa amat berbaloi apabila usaha memperjuangkan selaman inklusif akhirnya mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.

"Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi milik kita bersama sebagai rakyat Malaysia.

Setiap nafas skuba di dalam air, setiap kejayaan latihan skuba di kolam renang dan setiap cabaran yang kita tempuhi bersama dalam penyelaman skuba adaptif telah membina detik bersejarah ini.

Semangat, tenaga dan kepercayaan yang diberikan oleh komuniti kita menjadi kekuatan yang membawa kita ke tahap ini," katanya.

Anugerah ISDHF 2026 mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam memperkasakan dunia selaman yang lebih inklusif, selamat dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Melalui kerjasama bersama Diveheart Malaysia, Syed Abd Rahman aktif mempromosikan program selaman adaptif yang menggunakan aktiviti bawah air sebagai medium pembangunan diri, terapi serta pemerkasaan individu berkeperluan khas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong usaha tersebut, termasuk keluarga, sukarelawan, penyelam, jurulatih, rakan kolaborasi dan para pelajar Kids Scuba serta Diveheart Malaysia.

Dengan semangat "Malaysia Boleh", beliau berkata usaha memperluaskan akses kepada aktiviti selaman dan terapi air akan terus diperkasakan demi memberi manfaat kepada lebih ramai masyarakat.

Mengenai Kids Scuba dan Diveheart Malaysia

Kids Scuba merupakan organisasi yang aktif melatih generasi muda dan komuniti dalam kemahiran selaman skuba dengan memberi penekanan kepada aspek keselamatan, pendidikan serta kesedaran marin.

Menerusi kolaborasi bersama Diveheart Malaysia, organisasi itu turut menerajui program selaman adaptif bagi memperkasakan golongan OKU melalui terapi air, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai individu menikmati manfaat dunia selaman secara inklusif.

Must Watch Video

Advertisement